Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick telah melancarkan buku ‘Do Your Own Branding’ (DYOB) bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) membina dan mengukuhkan jenama mereka.
Buku panduan terbitan SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini telah dilancarkan seusai perasmian acara Brand Quest Forum (BQF) 2024 di Mont Kiara Kuala lumpur, baru-baru ini.
Sebagai panduan yang mesra dan mudah difahami, buku ini menyediakan strategi praktikal dalam membina identiti jenama, memilih nama dan logo, serta merancang sistem jenama yang mampan.
Di samping itu, DYOB juga mengandungi kisah kejayaan PMKS dalam strategi penjenamaan, menjadikannya sumber penting untuk memperkasa PMKS dan membawa jenama mereka ke peringkat global.
Selain buku DYOB, Ewon juga telah melancarkan laman sesawang baharu Program National Mark of Malaysian Brand (NMMB) yang menyediakan maklumat terkini dan akses mudah kepada PMKS untuk mendapatkan maklumat tentang program tersebut.
Program NMMB merupakan program pensijilan yang dianugerahkan kepada syarikat yang telah memenuhi tahap pematuhan kepada standard dan kualiti yang tinggi seterusnya membantu produk dan perniagaan untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa sejajar dengan salah satu Bidang Tumpuan di bawah Pelan Strategik Perniagaan SME Corp. Malaysia iaitu Pengantarabangsaan PMKS.
-NIAGATIMES