CAEXPO 2019 tarik pengunjung antarabangsa, syarikat Malaysia jana RM652 juta

Pavilion Malaysia di Ekspo China-ASEAN Ke-16 (CAEXPO) 2019 mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya menjana nilai jualan RM652 juta dalam tempoh tiga hari pertama acara itu di sini, demikian menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Bercakap kepada pemberita pada hari terakhir CAEXPO pada Selasa, Pengarah Seksyen China dan Asia Timur MATRADE, Khairul Annuar Abdul Halim berkata angka itu bukan setakat melepasi sasaran awal RM640 juta tetapi dijangka meningkat selepas berakhirnya acara empat hari bermula pada 21 September lepas.

Ini termasuk pemeteraian tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM31.71 juta antara syarikat Malaysia dan pengimport China membabitkan produk minuman, durian, penjagaan kesihatan dan keperluan bayi.

“Hasil jualan positif yang dilaporkan oleh syarikat Malaysia menunjukkan potensi besar serta penerimaan produk Malaysia di pasaran (China) seperti produk berasaskan durian, pes masakan, minuman kopi, biskut, barangan keperluan bayi serta ubat gigi,” katanya.

Menurutnya, pada tahun ini, makanan dan minuman terbukti memberi impak kukuh apabila mengatasi kluster kesihatan dan kesejahteraan dengan nilai jualan mencecah RM357.77 juta berbanding RM218.91 juta yang diraih pada CAEXPO 2018.

Kluster kesihatan dan kesejahteraan sebaliknya mencatat nilai jualan RM131.23 juta diikuti gaya hidup (RM125.60 juta) dan perkhidmatan (RM0.05 juta).

CAEXPO 2019 menyaksikan penyertaan sebanyak 167 syarikat Malaysia termasuk 151 Perusahaan Kecil dan Sederhana manakala MATRADE turut mengadakan lebih 1,000 sesi padanan perniagaan antara syarikat Malaysia dan rakan dari China. -BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.