Platform e-dagang kereta bersepadu di Asia Tenggara, Carsome secara rasminya telah mengembangkan operasinya ke Sarawak dengan melancarkan empat buah pusat pemeriksaan kenderaan yang baharu.
Dengan pelancaran ini, Carsome sekali gus memperkenalkan standard baharu dalam penjualan kereta untuk pengguna di Sarawak dengan memberikan mereka pilihan yang telus dan boleh dipercayai.
Pengasas Bersama Carsome dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Carsome, Teoh Jiun Ee berkata pengembangan syarikat ke Sarawak adalah sebahagian daripada misi berterusan pihaknya untuk menyelesaikan kesulitan pelanggan, sekali gus memberikan pengalaman baik kepada rakyat Malaysia sepanjang perjalanan penjualan kereta mereka.
โKehadiran Carsome di Sarawak mencatatkan peristiwa penting dan positif buat kami di Carsome. Motivasi kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan Carsome buat semua rakyat Malaysia, justeru menambah-baik ekosistem kereta terpakai dengan penggunaan data dan teknologi,โ katanya.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Menteri Kedua Kewangan dan Ekonomi Baharu dan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemasukan Carsome ke Sarawak adalah tepat pada masanya memandangkan negara sedang dalam fasa pemulihan daripada pandemik.
โBagi saya, model perniagaan dipacu teknologi yang diusahakan oleh Carsome akan mendukung matlamat kami untuk meningkatkan taraf hidup, membina ekonomi, menjana perniagaan dan mencipta peluang pekerjaan.
โIanya juga merupakan peluang untuk melatih warga Sarawak untuk menjadi pekerja dan pengguna yang bijak dan seterusnya meningkatkan tahap pendapatan mereka. Ini adalah selari dengan rancangan kerajaan Sarawak dalam melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 di mana rakyatnya akan menikmati kemakmuran ekonomi yang dipacu oleh data dan inovasi,โ ujarnya.
Dengan pelancaran empat buah pusat pemeriksaan baharu di Sarawak iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu, Carsome kini memiliki 49 buah pusat pemeriksaan di seluruh Malaysia.
-NIAGATIMES