Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) hari ini mengumumkan bahawa siri keempat Kempen Pembayaran Tanpa Tunai dan Cek Peringkat Nasional Siri Ke-4, atau Cashless Boleh 4.0, telah mencapai satu tahap baharu dalam transformasi digital Malaysia.
Kempen yang berlangsung dari 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024 tersebut menyaksikan penyertaan daripada 20 Agensi Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun, yang merekodkan sejumlah 138,817,425 transaksi pembayaran digital, mencapai kadar penembusan sebanyak 86%.
Selain itu, lapan Kerajaan Negeri turut menyertai kempen itu, dan berjaya merekodkan 46,372,978 e-pembayaran, mewakili 92% daripada 50,251,855 jumlah transaksi.
Kempen Cashless Boleh merupakan kerjasama tahunan antara PayNet dan Kementerian Kewangan (MOF) yang bertujuan mempercepat penerimaan pembayaran digital dalam sektor awam Malaysia dengan menggalakkan rakyat untuk menggunakan kaedah pembayaran elektronik seperti MyDebit, FPX, JomPAY, DirectDebit, dan DuitNow QR apabila berurusan dengan agensi kerajaan.
Dalam satu majlis bagi mengumumkan Agensi Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, dan Kerajaan Negeri yang berprestasi tinggi di bawah Cashless Boleh 4.0, serta meluncur kempen Cashless Boleh 5.0, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menekankan peranan penting kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam mempercepat penerimaan pembayaran digital di Malaysia.
“Pelaksanaan pembayaran tanpa tunai merupakan satu keperluan masa kini bagi meningkatkan keselamatan, kecekapan dan kebolehcapaian perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kerajaan; sekaligus dapat memudah dan membantu rakyat dalam membuat transaksi dengan lebih pantas dan selamat, sama ada di peringkat domestik mahupun global,” katanya.
Pengerusi PayNet, Datuk Izzaddin Idris berkata, selaku peneraju dalam agenda pendigitalan pembayaran negara, PayNet komited dalam memperkasa ekonomi digital melalui inisiatif strategik, yang bertujuan memudahkan, memastikan keselamatan, serta memberikan akses pembayaran digital kepada semua.
“Kempen Cashless Boleh adalah satu inisiatif yang bertujuan memperkukuh infrastruktur pembayaran tanpa tunai di seluruh negara, khususnya dalam ekosistem kerajaan. Ini selaras dengan objektif keseluruhan untuk menggalakkan transaksi digital yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan ketelusan, tetapi juga memangkin transformasi menuju masyarakat tanpa tunai yang progresif. Kempen ini juga selaras dengan inti pati Pelan Tindakan Ekonomi MyDIGITAL bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang kompetitif dalam ekonomi digital,” ujarnya.
-NIAGATIMES






















































