Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) meneruskan pengembangannya dalam sektor peruncitan tempatan dengan pembukaan cawangan ke-71 di KSL Esplanade Mall.
Pembukaan stor baharu ini turut menandakan kesinambungan kerjasama jangka panjang antara Lotus’s Malaysia dan KSL yang telah bermula sejak 2011 melalui projek di Johor Bahru.
Ketua Pegawai Kewangan dan Pembangunan Hartanah Lotus’s Malaysia, Yvonne Yong berkata lokasi KSL Esplanade dipilih kerana kedudukannya yang strategik serta berpotensi menarik aliran pelanggan yang pelbagai.
Menurutnya, kawasan tersebut mempunyai akses yang baik melalui rangkaian jalan utama dan lebuh raya serta berhampiran stesen LRT3 yang bakal beroperasi, selain disokong pembangunan perumahan, komersial dan hotel di sekitarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Neil Gurusamy berkata cawangan berkenaan direka untuk memenuhi keperluan harian komuniti setempat dengan menawarkan lebih 9,000 unit stok simpanan (SKU) merangkumi pelbagai kategori seperti barangan segar, bakeri, makanan sejuk beku, keperluan isi rumah serta produk kesihatan dan kecantikan.
“Susun atur stor yang jelas dan mesra pelanggan membolehkan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar, selesa dan efisien,” katanya.
Beliau berkata stor itu menyasarkan tiga kumpulan utama pelanggan iaitu keluarga, pelawat serta golongan bekerja yang memerlukan kemudahan membeli-belah yang cepat dan praktikal.
Dalam pada itu, Lotus’s Malaysia terus mengekalkan fokus terhadap penawaran harga mampu milik bagi membantu pengguna mengurus perbelanjaan harian tanpa menjejaskan kualiti.
Bersempena pembukaan tersebut, pelbagai promosi ditawarkan dari 4 hingga 8 April 2026 termasuk jualan harga istimewa bagi barangan keperluan asas serta tawaran “Beli 1 Percuma 1” untuk produk terpilih.
Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati diskaun sehingga 40 peratus bagi barangan runcit, makanan ringan, minuman serta produk kesihatan dan isi rumah.
Ahli My Lotus’s turut berpeluang menikmati ganjaran tambahan termasuk mata ganjaran berganda dan e-baucar melalui kempen khas yang diadakan.
Pembukaan ini mencerminkan komitmen berterusan Lotus’s Malaysia dalam memastikan keperluan harian yang berkualiti dan mampu milik terus mudah diakses oleh masyarakat setempat.
-NIAGATIMES




















































