CBP perkasa digitalisasi dengan kempen DuitNow libatkan HELOCBP dan HELOBiz

Co-opbank Pertama (CBP) hari ini melancarkan kempen julung kali bagi perkhidmatan DuitNow melalui aplikasi mudah alih HELOCBP, menawarkan ganjaran keseluruhan melebihi RM600,000 kepada para pelanggan bermula Oktober 2025 hingga Mac 2026.

Menurut CBP, kempen tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) sebagai penghargaan kepada pengguna baharu dan sedia ada dalam segmen runcit serta korporat melalui aplikasi HELOCBP dan HELOBiz.

Antara inisiatif yang telah bermula pada 1 Oktober 2025 ialah Kempen Daftar DuitNow ID, yang menawarkan pulangan tunai RM5 kepada 20,000 pengguna terawal HELOCBP. Bagi pelanggan korporat yang mendaftar melalui HELOBiz, sebanyak 500 penyertaan terawal layak menerima cashback RM100.

CBP turut memperkenalkan kempen Bayar dan Menang, yang memberi peluang kepada pelanggan yang membuat pembayaran semula pembiayaan melalui DuitNow untuk memenangi pulangan tunai RM100. Kempen ini turut bermula serentak pada 1 Oktober lalu.

Kempen terbesar di bawah aplikasi HELOCBP, iaitu QR-azy Deals (Crazy Deals), dijadualkan berlangsung dari 1 November 2025 hingga 22 Mac 2026. Melalui kempen ini, pelanggan berpeluang membawa pulang hadiah sehingga RM400,000, termasuk pelbagai barangan bernilai tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, berkata pelancaran siri kempen tersebut merupakan antara usaha utama bank itu dalam memacu agenda digitalisasi perkhidmatan kewangan.

“Kempen ini merupakan inisiatif utama CBP dalam memperkasakan digitalisasi perkhidmatan kewangan untuk manfaat pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa selain memudahkan urusan harian, pelanggan turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk motosikal Yamaha, pakej percutian, barangan elektrik dan elektronik serta pulangan tunai melalui penyertaan dalam mana-mana kempen HELOCBP.

Aplikasi HELOCBP telah dilancarkan pada 1 Mac 2024 manakala aplikasi korporat HELOBiz diperkenalkan pada 1 April 2024. Kedua-duanya boleh dimuat turun secara percuma di Google Play dan App Store, menawarkan pelbagai kemudahan transaksi digital di hujung jari.

-NIAGATIMES

Poster-3.jpeg