CBP umum dividen 6.5 peratus, agih RM104.79 juta kepada lebih 92,000 anggota

Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 6.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025, membabitkan agihan keseluruhan RM104.79 juta kepada lebih 92,000 anggota yang layak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata kadar dividen tersebut telah mengambil kira potongan zakat dan mula dikreditkan ke dalam akaun anggota yang layak sejak 2 Julai lepas.

Beliau berkata CBP terus mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan apabila merekodkan keuntungan RM131.15 juta bagi tahun kewangan 2025, meningkat 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Prestasi ini mencerminkan daya tahan serta pengukuhan kedudukan kewangan bank hasil pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Khairil Anuar, CBP menyasarkan keuntungan sebanyak RM141 juta bagi tahun kewangan 2026 dan yakin sasaran itu mampu dicapai melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif pemasaran yang telah dirancang.

Beliau berkata bagi memperkukuhkan lagi asas kewangan, CBP juga akan menerbitkan Structured Covered Sukuk dalam masa terdekat menerusi anak syarikatnya, Himayah Sukuk Berhad.

Katanya, penerbitan sukuk berkenaan dijangka meningkatkan lagi kedudukan dan pengiktirafan CBP dalam pasaran sukuk tempatan, disokong penarafan A3 dan P2 dengan prospek stabil yang diberikan oleh RAM Ratings.

-NIAGATIMES

Ketua-Pegawai-Eksekutif-CBP-Khairil-Anuar-Mohammad-Anuar-1.jpg