Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) baru-baru ini telah melancarkan Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i) 2.0 bagi meneruskan mandat oleh Bank Negara Malaysia sejak 2009 untuk mengurus selia skim TPUB-i bagi membantu kontraktor-kontraktor bumiputera.
Sehingga kini, TPUB-i telah membantu hampir 2,000 kontraktor-kontraktor bumiputera dengan jumlah pembiayaan yang telah diluluskan sebanyak RM1.6 bilion. Kontraktor-kontraktor bumiputera ini terlibat di dalam pelbagai sektor ekonomi seperti pembinaan, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan.
CGC dalam satu kenyataan berkata, bagi mengikuti perubahan dalam sektor ekonomi dan pembiayaan, CGC telah mengorak langkah kehadapan dengan memperkenalkan penambahbaikan kepada skim TPUB-i yang dinamakan TPUB-i 2.0.
“Secara umumnya, terdapat 30 ciri-ciri yang telah dipertingkatkan untuk skim TPUB-i yang mana tujuh daripadanya adalah ciri-ciri utama baru skim tersebut.
“Ciri-ciri baru TPUB-i 2.0 ini akan mempertingkatkan dan memperkukuhkan mutu dan kualiti skim ini untuk menjadi lebih mesra pasaran dan dapat memberi lebih banyak pilihan pembiayaan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera.
“Jika dahulu, kontraktor-kontraktor hanya boleh memohon pembiayaan berjangka, kini dengan penambahbaikan skim, mereka dapat memilih pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan projek, sektor ekonomi dan kondisi perniagaan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak melihat pelancaran TPUB-i 2.0 ini selaras dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk membantu usaha pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.
Untuk sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai TPUB-i 2.0, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) boleh layari www.imsme.com.my, hubungi Pusat Khidmat Pelanggan CGC di 03-7880 0088 atau kunjungi mana-mana 16 cawangan CGC di seluruh negara.
-NIAGATIMES