Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) menawarkan pembiayaan BizBina-i untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang operasi perniagaan mereka terjejas akibat banjir baru-baru ini.
CGC berkata, skim pembiayaan yang disediakan kepada pelanggan PMKS CGC bertujuan untuk meringankan beban kewangan dan membantu mereka meneruskan operasi perniagaan berikutan bencana alam ini.
“BizBina-i ialah skim pembiayaan langsung untuk PMKS memperolehi pembiayaan sehingga RM200,000 (tertakluk kepada terma dan syarat) dengan tempoh sehingga 5 tahun 6 bulan (termasuk moratorium enam bulan ke atas kedua-dua prinsipal dan keuntungan).
“PMKS boleh memanfaatkan kemudahan BizBina-i sebagai modal kerja atau pemerolehan aset yang membolehkan mereka membaiki dan membeli aset untuk kegunaan komersial serta menggantikan aset yang rosak semasa banjir,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi pelanggan PMKS yang terjejas akibat banjir.
“Skim pembiayaan BizBina-i membantu pelanggan PMKS CGC ketika mereka berhadapan dengan bencana alam. Pelanggan PMKS adalah keutamaan CGC dan kami komited untuk membantu mereka mengekalkan operasi perniagaan mereka dalam masa yang mencabar ini,” ujarnya.
Pada masa yang sama, CGC juga menawarkan kemudahan Penjadualan dan Penstrukturan Semula untuk pembiayaan, pinjaman serta bantuan nasihat dan sokongan.
Pelanggan yang memerlukan pembiayaan bantuan banjir dan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan CGC di talian 03-7880 088 atau e-mel csc@cgc.com.my.
Selain itu, PMKS juga boleh menghubungi mana-mana 16 cawangan CGC di seluruh negara.
-NIAGATIMES