Pihak berkuasa China telah menunjukkan komitmen bagi mempercepatkan pembinaan pelabuhan perdagangan bebas Hainan dengan menyiapkan sebuah pelan baharu sejak tiga bulan yang lalu meskipun negara berkenaan berdepan ancaman pandemik Covid-19.
Biro Pembangunan Ekonomi Antarabangsa Hainan dalam satu kenyataan berkata, Hainan bakal menjadi sebuah destinasi popular untuk pelaburan dan perusahaan asing melalui pakej dasar sokongan.
“Setakat ini, pelabuhan perdagangan bebas itu telah memperolehi sebanyak 94 projek utama termasuk 20 projek yang dibiayai oleh pihak asing, yang merangkumi sektor seperti pelancongan, perkhidmatan moden dan industri berteknologi tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah bagi Biro Pembangunan Ekonomi Antarabangsa Hainan, Han Shengjian berkata, manfaat kepada ekonomi China kelak akan memberi pulangan sebaik sahaja pelabuhan perdagangan bebas Hainan disiapkan.
“Pelancaran bagi projek-projek ini akan membawa pertumbuhan baharu bukan sahaja kepada pelabuhan perdagangan bebas itu tetapi juga kepada pelabur global,” katanya.
Dari 1 Julai, Hainan telah meningkatkan kuota membeli-belah bebas cukai tahunan mereka dari 30,000 yuan (kira-kira 4,389 dolar Amerika Syarikat) kepada 100,000 yuan setiap seorang.
Menurut data rasmi, penjualan dari empat kedai bebas cukai luar pesisir di Hainan mencecah 5 bilion yuan dari 1 Julai hingga 18 Ogos, satu peningkatan sebanyak 250 peratus tahun ke tahun, dengan satu kadar pusing ganti harian purata lebih dari 100 juta yuan.
-NIAGATIMES