Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berhasrat memperluaskan program usahawan kemahiran di bawah seliaan Akademi Binaan Malaysia (ABM) bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan belia serta usahawan yang sedia ada.
Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, program usahawan kemahiran yang disertai pelatih lepasan ABM setakat ini bukan sahaja melahirkan usahawan berkredibiliti malah mendidik pelapis kontraktor yang mempunyai pemikiran dengan kelas tersendiri.
“Buat masa ini, program ini hanya berada di ABM Wilayah Selatan dengan bidang tumpuan adalah Kemahiran Penghawa Dingin yang mempunyai prestasi memberangsangkan daripada peserta-pesertanya.
“Pada masa akan datang, kita merancang untuk mengembangkan program usahawan ini ke ABM Wilayah Utara serta memperkenalkan program baharu seperti Kemahiran Pendawaian,” katanya kepada pemberita selepas majlis graduasi pelatih ABM Wilayah Tengah di Pusat Konvensyen CIDB Kuala Lumpur, semalam.