CIMB, China CITIC Bank jalin kerjasama perkukuh hubungan kewangan China-ASEAN

CIMB Bank Bhd memeterai Surat Hasrat (LoI) dengan China CITIC Bank Corporation Ltd bagi memperkukuh kesalinghubungan kewangan antara China dan ASEAN, khususnya di Malaysia dan Indonesia, melalui pemudahcaraan perdagangan dua hala, pembiayaan rentas sempadan serta aliran pelaburan di rantau ini.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua institusi kewangan akan memanfaatkan kekuatan rangkaian domestik China CITIC Bank di China serta kehadiran meluas CIMB di ASEAN untuk menyediakan akses yang lebih lancar kepada pelbagai penyelesaian perbankan bagi pelanggan masing-masing.

Inisiatif berkenaan merangkumi kemudahan transaksi perdagangan, pembayaran dan pembiayaan rentas sempadan yang bertujuan menyokong operasi serta pelan pengembangan perniagaan pelanggan di sepanjang koridor ekonomi China-ASEAN.

Selain itu, kerjasama tersebut turut melibatkan pembangunan keupayaan pembayaran dan penjelasan mata wang Renminbi (RMB) serta mata wang asing, termasuk potensi akses kepada Sistem Pembayaran Antara Bank Rentas Sempadan China (CIPS), pengaturan pembiayaan RMB antara bank dan kemudahan pinjaman luar pesisir ke pasaran ASEAN.

Langkah itu dijangka mengukuhkan lagi hubungan kewangan antara China dan negara-negara ASEAN serta memudahkan urusan transaksi rentas sempadan yang semakin berkembang.

Dalam pada itu, kedua-dua bank akan meneroka kerjasama di peringkat ibu pejabat bagi memperkemas pengurusan perbendaharaan dan tunai rentas sempadan, termasuk perkhidmatan pembukaan, penyelenggaraan dan pengurusan akaun untuk perusahaan tempatan.

Usaha tersebut dijangka meningkatkan penyelarasan operasi antara ibu pejabat dan cawangan kedua-dua bank sekali gus membantu pelanggan mengurus transaksi rentas sempadan dengan lebih cekap.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik itu, CIMB dan China CITIC Bank turut komited menyokong pengembangan perniagaan pelanggan di China dan ASEAN melalui rujukan pelanggan bersama serta khidmat nasihat berkaitan kemasukan pasaran, pematuhan peraturan, pelaksanaan transaksi rentas sempadan dan peluang penggabungan serta pengambilalihan.

Kedua-dua pihak juga akan meneliti potensi kerjasama dalam pinjaman bersindiket merangkumi pasaran utama dan sekunder global bagi memperluas akses pelanggan kepada peluang pembiayaan serantau dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei berkata hubungan perdagangan, pelaburan dan rantaian bekalan antara China dan ASEAN yang semakin kukuh memerlukan institusi perbankan yang mampu menghubungkan pelanggan dengan lebih berkesan di kedua-dua pasaran.

Beliau berkata kedudukan CIMB yang kukuh di ASEAN membolehkan bank itu memainkan peranan penting dalam menghubungkan pelanggan kepada peluang perniagaan di koridor China-ASEAN menerusi penyelesaian perdagangan, pembiayaan dan perbankan rentas sempadan yang lebih bersepadu.

“Dengan memperkukuh hubungan kami dalam ekosistem kewangan China, CIMB berada pada kedudukan yang baik untuk membantu pelanggan mempercepat akses pasaran, menangani kerumitan urusan rentas sempadan serta merealisasikan aspirasi pertumbuhan serantau mereka dalam salah satu ekonomi terbesar dan paling dinamik di dunia,” katanya.

-NIAGATIMES

LOI_CIMB-and-China-CITIC-Bank-1.jpg