CIMB Islamic Bank Berhad memperuntukkan RM2.4 juta bagi memperluas pelaksanaan program iTEKAD, inisiatif utama bank itu yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan usahawan mikro, pekerja gig dan agropreneur melalui sokongan kewangan, latihan keusahawanan serta pembangunan kapasiti.
Peruntukan tersebut dijangka memberi manfaat kepada sehingga 220 peserta menerusi tiga inisiatif utama di bawah satu platform bersepadu, iaitu Program Keusahawanan iTEKAD CIMB Islamic–Taylor’s, Program Keusahawanan Rider iTEKAD CIMB Islamic serta Program Agropreneur Graduan Melon Manis Terengganu iTEKAD CIMB Islamic.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata program itu dirangka untuk membina daya tahan ekonomi jangka panjang dan menggalakkan mobiliti ekonomi yang mampan dalam kalangan komuniti kurang mendapat perkhidmatan kewangan.
“Pemerkasaan kewangan bukan sekadar menyelesaikan cabaran jangka pendek, sebaliknya membantu individu membina keupayaan berdikari dan mengembangkan perniagaan. Melalui iTEKAD, kami menyediakan bukan sahaja modal, tetapi juga ilmu, kemahiran dan rangkaian sokongan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pelaksanaan iTEKAD memanfaatkan struktur pembiayaan campuran yang menggabungkan geran padanan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bersama dana Zakat Wakalah CIMB Islamic, sekali gus memastikan penyaluran modal yang lebih bersasar untuk pertumbuhan pendapatan.
Sejak diperkenalkan, Program Keusahawanan Rider iTEKAD CIMB Islamic telah membantu lebih 200 pekerja gig beralih kepada pemilikan perniagaan, dengan liputan diperluas daripada Lembah Klang ke Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Selari dengan usaha itu, lebih 60 buah motosikal telah diserahkan kepada pekerja gig di Kuala Lumpur dan Selangor dalam satu majlis baru-baru ini.
Sementara itu, Program Keusahawanan iTEKAD CIMB Islamic–Taylor’s telah menyokong lebih 500 usahawan mikro daripada golongan asnaf dan B40 melalui geran perniagaan serta latihan berstruktur.
Di Terengganu pula, Program Agropreneur Graduan Melon Manis membimbing 40 belia dalam pertanian moden dengan penyediaan latihan keusahawanan dan empat rumah hijau, membolehkan mereka mengusahakan lebih 1,500 pokok tembikai setiap musim.
Keseluruhannya, inisiatif berkenaan selari dengan agenda iTEKAD BNM yang menekankan pembiayaan sosial bersepadu, termasuk zakat, wakaf dan pelaburan impak, bagi menyokong penjanaan pendapatan mampan serta ketahanan ekonomi jangka panjang.
-NIAGATIMES






















































