Covid-19: Dana tambahan RM4.5 bilion bantu PKS dan mikro

0
29

Kerajaan akan memperuntukan dana tambahan sebanyak RM4.5 bilion khusus kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro bagi mengharungi situasi getir perniagaan yang terjejas akibat penularan Covid-19 di Malaysia ketika ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) di Putrajaya baru-baru ini berkata, penambahan dana yang disepakati bersama-sama Bank Negara Malaysia tersebut akan disalurkan berdasarkan lima inisiatif utama.

“Pertama, menambah dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion. Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75 peratus kepada 3.5 peratus.

“Kedua, meningkatkan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS,” katanya.

Tambah Muhyiddin, inisiatif seterusnya pula ialah menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro melibatkan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah yang akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan penawaran kadar faedah dua peratus tanpa cagaran.

“Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi. Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan.

“Inisiatif ini adalah terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian,” jelasnya.

Bagi inisiatif keempat, Muhyiddin menjelaskan bahawa PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada empat tahun juga boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

Inisiatif terakhir, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

“Menerusi inisiatif-inisiatif di atas, saya percaya institusi kewangan akan terus memberikan sokongan padu kepada PKS yang berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang agak muram pada masa ini,” ujarnya.

TSMY-Foto-NiagaTimes.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.