Covid-19: Platform e-dagang bantu usahawan bangkit akan diperkenalkan

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bakal memperkenalkan sebuah platform e-dagang baharu sebagai inisiatif membantu usahawan dalam memperkasakan perniagaan masing-masing secara atas talian.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, golongan usahawan yang terdiri daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mikro, koperasi serta berstatus tidak formal wajar memanfaatkan kemajuan prestasi dan potensi di sektor e-dagang untuk menyebar luas serta mengembangkan pasaran komuniti usahawan dan koperasi tempatan.

“Platform e-dagang yang bakal dilaksanakan ini diharap memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi usahawan PKS dan mikro.

“Antaranya, memperluas akses usahawan kepada RM150 juta dana sumber pembiayaan alternatif.

“Selain itu, kita juga mahu membantu usahawan PKS dan mikro tempatan yang terkesan ekoran daripada wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan untuk bangkit semula memulakan perniagaan.

“MEDAC turut membantu usahawan PKS dan mikro tempatan yang ditawarkan Geran SME Corp. seperti Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) untuk memulakan projek sebagai ‘bridging fund’,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, MEDAC telah memulakan langkah dengan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama-sama wakil daripada 13 syarikat gergasi e-dagang yang beroperasi di Malaysia.

-NIAGATIMES

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.