CSR Malaysia, sebuah badan yang berdaftar dengan nama Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia telah memilih 50 syarikat tempatan untuk diberi pengiktirafan sebagai penerima anugerah pada majlis Anugerah CSR Malaysia 2019 di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bertemakan ‘We Are The World’, anugerah tahunan ini diadakan bertujuan menghargai sumbangan-sumbangan daripada syarikat senaraian awam, syarikat swasta serta syarikat berkaitan kerajaan pelbagai latar yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti dan alam sekitar.
Antara syarikat-syarikat yang diraikan pada majlis anugerah tersebut ialah Bank Rakyat, 7-Eleven, Kumpulan Perangsang Selangor, Top Glove, Tenaga Nasional Berhad, EXIM Bank, McDonald’s, Poh Kong, Starbucks, Aspen Vison, Kenanga Investment Bank Berhad dan lain-lain.
Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh Tseow Suan. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye; Pengerusi CSR Malaysia, Datuk R. Rajendran dan Editor Urusan CSR Malaysia, Lee Seng Chee.