CSR MALAYSIA MELANGKAUI TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT – DATUK RAJENDRAN

Apabila disebut mengenai tanggungjawab sosial korporat (CSR), pastinya kebanyakan daripada kita membayangkan kerja-kerja atau aktiviti-aktiviti amal berbentuk bantuan yang melibatkan kewangan, tenaga kerja dan sokongan moral semata-mata. Tetapi, tahukah anda bahawa konsep CSR sebenarnya lebih luas daripada tanggapan klise tersebut? Berkesempatan bertemu dengan Pengerusi CSR Malaysia, Datuk R. Rajendran, dalam satu sesi wawancara baru-baru ini, beliau menceritakan betapa besarnya peranan CSR yang harus dipikul oleh sesebuah komuniti melibatkan syarikat korporat dan masyarakat.

“Semua orang tahu tentang CSR dan ramai daripada kita sukakannya. Lebih-lebih lagi jika manfaatnya kita kongsikan bersama-sama. Hasil kaji selidik kumpulan kami mendapati 70 peratus syarikat tersenarai awam di Malaysia bergiat aktif dalam aktiviti CSR. Maka, atas dasar itulah saya tubuhkan CSR Malaysia untuk menyatukan semangat muhibah dan harmoni yang masih utuh dalam kalangan komuniti kita pada hari ini.

“CSR Malaysia secara rasminya telah didaftarkan atas nama ‘Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia’ di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Pada masa yang sama, kami juga memiliki permit penerbitan yang diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri dan label cap dagangan yang diiktiraf Perbadanan Harta Intelek (MyIPO).

Datuk Rajendran bersama-sama grup CSR Malaysia ketika mengadakan kunjungan hormat di pejabat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Hannah Yeoh

“Kami di CSR Malaysia bertanggungjawab bukan sekadar meguar-uarkan sebarang aktiviti atau hebahan mengenai CSR tempatan. Kami juga tidak hanya fokus kepada tugas menyampaikan sumbangan wang, kudrat dan nasihat. Malah, kami komited untuk lebih memberikan segala-galanya tanpa mengetepikan sebarang pihak. Cubalah belek dan teliti naskah majalah CSR Malaysia, saya pasti anda akan faham perkara yang saya maksudkan,” katanya.

Tegas Datuk Rajendran, aspek ‘sustainability’ (kemapanan) merupakan elemen terpenting dalam CSR. Beliau menjelaskan bahawa ‘corporate sustainability and social responsibility’ (tanggungjawab kemapanan dan sosial korporat) sebenarnya adalah istilah yang lebih tepat untuk menggambarkan perlaksanaan konsep CSR yang dijalankan sama ada oleh kelompok ataupun secara individu. Menurutnya, kaedah pembangunan kemapanan berupaya mengekalkan sesuatu sumber dengan menyelarikan kehidupan manusia bersama alam semula jadi di sekeliling sekaligus dapat melindungi persekitaran dari kerosakan dan kemusnahan.

“Saya berpendapat program kemapanan CSR yang bagus wajar memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pembangunan ekonomi, pembangunan sosial dan perlindungan alam sekitar.

“Bagi teras yang pertama iaitu ekonomi, kebanyakan usahawan merasakan perniagaan mereka telah berada di kedudukan yang kukuh. Mereka beranggapan untuk menjadi mampan, perniagaan mesti menguntungkan. Itu bermakna keuntungan tidak boleh mengalahkan dua teras yang lain. Namun hakikatnya, keuntungan pada apa jua kos sebenarnya tidak mampu menyamai teras ekonomi. Aktiviti CSR yang sesuai dilaksanakan di sini ialah pematuhan, tadbir urus yang betul dan pengurusan risiko,” jelasnya ringkas.

Untuk teras pembangunan sosial pula, beliau yang turut mesra disapa sebagai Datuk Raja berpendapat bahawa perniagaan yang mampan perlu mendapat sokongan dan kelulusan daripada pekerja, pihak berkepentingan dan komuniti yang terlibat di dalamnya. Dalam erti kata lain, kepentingan dan kebajikan setiap orang yang berada di dalam ruang lingkup sesebuah perniagaan haruslah dijaga dengan baik.

“Pendekatan untuk mendapatkan dan mengekalkan sokongan ini boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk aktiviti CSR. Tetapi ia sebenarnya tidaklah begitu sukar untuk melayan pekerja secara adil, menjadi jiran yang bagus dan ahli masyarakat berperibadi mulia baik secara lokal mahupun global. Sebagai contoh, seorang majikan atau pekerja boleh memberi bantuan berbentuk makanan, pendidikan, keperluan dan tempat tinggal kepada pekerja-pekerja yang kurang berkemampuan. Malah, tidak ada salahnya juga untuk mereka memberi bantuan tersebut kepada penduduk miskin di kawasan sekitar tempat kerja mereka,” katanya.

Datuk Raja seterusnya mendedahkan betapa teras perlindungan alam sekitar dalam kemapanan CSR paling penting dan sering mendapat perhatian. Menurutnya, syarikat-syarikat yang terlibat akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan jejak karbon, sisa pembungkusan, penggunaan air dan kesan negatif keseluruhan mereka terhadap alam sekitar.

“Syarikat-syarikat tempatan mendapati bahawa memberi sumbangan yang baik terhadap planet ini juga boleh mendatangkan impak kewangan yang positif.

“Kita semua secara tidak langsung akan sedar tanggungjawab kita untuk melindungi alam sekitar. Sama ada yang dikitar semula, mengurangkan penggunaan tenaga dengan menutup peranti elektronik yang tidak digunakan atau memilih untuk berjalan kaki dalam jarak yang dekat dan bukannya mengambil bas. Kesemua contoh yang dinyatakan juga menunjukkan perniagaan boleh dikawal untuk mengelakkan pencemaran,” ujarnya.

Selaku penganjur rasmi Anugerah CSR Malaysia yang terulung di negara ini, beliau mengharapkan konsep pengurusan tanggungjawab sosial korporat dapat difahami syarikat-syarikat di Malaysia dalam mengintegrasikan kebimbangan sosial alam sekitar melalui operasi perniagaan masing-masing dan interaksi dengan pihak berkepentingan mereka.

“CSR secara keseluruhannya difahami sebagai cara sesebuah syarikat mencapai keseimbangan ekonomi, alam sekitar, sosial dan pada masa yang sama juga menangani jangkaan pemegang saham serta pihak berkepentingan. Dalam hal ini, adalah penting untuk menarik perbezaan antara CSR yang boleh menjadi konsep pengurusan perniagaan yang strategik dengan amal, penajaan atau dermawan.

“Walaupun umum mengetahui CSR menyumbang kepada pengurangan jurang kemiskinan, secara tidak langsung juga ia dapat meningkatkan reputasi sesebuah syarikat dan mengukuhkan jenamanya. Jelaslah, konsep CSR melangkaui segala-galanya,” katanya mengakhiri perbualan.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.