Syarikat penyelesaian penghantaran e-dagang, EasyParcel, menggalakkan orang ramai untuk divaksin menerusi Kempen Pemvaksinan EasyParcel x Pgeon.
Kempen yang berlangsung dari 28 Jun hingga 31 Ogos 2021 ini menawarkan 50,000 penghantaran percuma kepada warga Malaysia yang mendaftar untuk pemvaksinan Covid-19.
EasyParcel berkata, jumlah penghantaran ini bersamaan dengan 25 penghantaran keseluruhan bagi setiap seorang.
“Usaha sama dengan Pgeon ini dilaksanakan dengan matlamat untuk menggalakkan rakyat Malaysia mendapatkan vaksin sebagai satu usaha bersepadu bagi mencapai keimunan kelompok.
“Kita mahu mempromosikan pemvaksinan kepada seramai mungkin rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EasyParcel, Clarence Leong berkata, kempen ini dilancarkan untuk memupuk sikap warganegara yang bertanggungjawab bagi membantu menurunkan bilangan kes semasa Covid-19 di Malaysia.
“Penghantaran percuma EasyParcel boleh menjadi titik permulaan kepada usahawan-usahawan untuk membawa perniagaan mereka ke dalam talian, terutama sekali bagi mereka yang mahu mengurangkan kos.
“Inisiatif ini akan menggalakkan orang ramai untuk menjual produk-produk mereka secara dalam talian di samping membantu mereka melakukan penghantaran bungkusan dari kediaman mereka tanpa perlu bersusah-payah untuk keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.
“Jika anda menghantar hanya satu bungkusan daripada 25 penghantaran percuma yang anda terima sekalipun, anda tetap akan menikmati khidmat kutipan percuma di rumah yang dilakukan oleh Pgeon,” jelasnya.
-NIAGATIMES