DagangHalal, Tastefully dan TikTok tampilkan Karnival DagangHalal hibrid

Platform e-pasaran halal B2B, DagangHalal.com berganding bahu bersama Tastefully, pengurus pameran makanan dan minuman dari Malaysia untuk melancarkan pameran Karnival DagangHalal bermula hari ini sehingga 1 Oktober 2023 di IOI City Mall.

DagangHalal juga bekerjasama dengan TikTok Malaysia untuk mendaftarkan perniagaan yang mengambil bahagian di Karnival ke TikTok Shop, dan memberikan peluang kepada para Perusahaan Kecil Sederhana dan Mikro (PKSM) untuk mencuba perdagangan sosial di dalam talian.

Karnival ini juga merupakan platfom untuk PKSM untuk menjalankan digitalisasi, transformasi dan perubahan untuk mengambil bahagian di dalam pasaran global halal yang dijangka bernilai sebanyak 3.27 trilion dollar Amerika pada tahun 2028.

Ketua Eksekutif DagangHalal, Sam Hwang Seak Wai berkata, perniagaan yang menerusi transformasi dan inovasi digital berada pada kedudukan yang lebih strategik untuk merampas dan merebut peluang yang menanti.

“Karnival kami bukan sahaja percantuman pasaran runcit bersama e-pasaran, malah merupakan visi kami dalam membentuk dan menambah baik pengalaman membeli belah barangan dan perkhidmatan halal untuk kedua-dua pihak peniaga dan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Karnival tiga hari ini menampilkan pelbagai program menarik seperti bengkel penghayatan kopi, pelancaran kopi jenama BlackMo, cabaran makanan Korea, strim langsung TikTok, ceramah poket JAKIM, persembahan fesyen ZUCCA, demonstrasi memasak, pertandingan makan, dan juga pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

-NIAGATIMES

DagangHalal.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.