Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) melihat potensi perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara-negara ASEAN boleh dipertingkatkan sekiranya satu kerjasama diwujudkan dengan kesepakatan mengetengahkan dana pelaburan pembangunan bersama.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, dana pelaburan tersebut kelak mampu menampung elemen-elemen perkembangan perniagaan seperti pembinaan kapasiti, guna pakai teknologi, inovasi, latihan modal insan serta akses ke pasaran dan pembiayaan.
“Daripada semua elemen ini, akses kepada pembiayaan dilihat sebagai yang paling penting memandangkan pembiayaan diperlukan bagi menyelesaikan kebanyakan isu lain.
โDalam hal ini, saya memuji Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), yang telah menjadi rakan penting dalam membantu kerajaan Malaysia merangka dasar berasaskan bukti bagi mempromosikan akses kepada pembiayaan untuk PKS tempatan dan juga menanda aras prestasi kami berbanding rakan negara lain,” katanya sewaktu menyampaikan ucaptama pada Bengkel Akses PKS kepada Sumber Pembiayaan Alternatif ASEAN di Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur, semalam.