Dana RM200 juta sedia disalur bantu PKS sektor 3D

SME Bank akan menyediakan dana sebanyak RM200 juta di bawah Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA bagi membantu usahawan daripada sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar (dirty, dangerous and difficult) terutamanya dalam bidang pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pembinaan yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, sektor 3D adalah antara sektor yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada institusi kewangan kerana operasi perniagaan mereka telah tergendala akibat daripada penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan sejak tahun lepas.

“Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA ini akan membolehkan usahawan mendapat pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tempoh maksimum 10 tahun dengan kadar keuntungan antara 4 hingga 5 peratus setahun.

“Untuk setiap pembiayaan yang diluluskan, Kementerian Kewangan akan memberikan padanan geran sehingga maksimum 20 peratus daripada nilai pembiayaan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Aria, dana tersebut juga akan membolehkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) membuat pembelian mesin, peningkatan adaptasi teknologi dalam perniagaan dan membantu dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

“Kami percaya, dengan adanya Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA SME Bank ini, transformasi perniagaan sektor 3D seperti yang dirancang oleh kerajaan akan dapat direalisasikan dengan lebih cepat sekali gus menarik lebih ramai rakyat tempatan untuk menyertai sektor 3D ini,” ujarnya.

Pelanggan juga berpeluang mengikuti program bimbingan keusahawanan dan pembangunan kapasiti secara percuma di bawah Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat SME Bank.

Kemudahan pembiayaan ini juga boleh mendapat jaminan sehingga 80 peratus daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.