Co-opbank Pertama (CBP) menyambut baik peruntukan sebanyak RM254 juta yang diumumkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi pelaksanaan 28 program pembangunan koperasi sepanjang tahun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata peruntukan itu dilihat sebagai galakan penting kepada gerakan koperasi untuk terus memainkan peranan signifikan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata sebagai sebuah bank koperasi, CBP berpandangan peruntukan tersebut mampu memperkukuh sektor koperasi menerusi penyediaan geran dan pembiayaan yang lebih menyeluruh.
“Peruntukan ini memberi isyarat jelas bahawa koperasi terus diiktiraf sebagai antara sektor penting dalam ekosistem ekonomi negara.
“CBP akan terus menyokong gerakan koperasi menerusi penawaran produk seperti CBP CoSTART, kemudahan deposit serta pembiayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 29 Januari lalu, KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengumumkan peruntukan RM254 juta bagi pelaksanaan 28 program pembangunan koperasi sepanjang tahun 2026, melibatkan geran dan pembiayaan, yang merupakan peruntukan tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922.
Khairil Anuar berkata peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa gerakan koperasi di negara ini, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi masyarakat secara inklusif.
“CBP melihat peruntukan ini sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap sumbangan gerakan koperasi.
“Kami akan terus membantu dan menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan gerakan koperasi agar kekal mampan dan berdaya saing,” katanya.
-NIAGATIMES





















































