Dana ‘SPUMI Goes Big’ perkasa bisnes usahawan India, boleh mohon bermula 15 April ini

TEKUN Nasional (TEKUN) melancarkan Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) untuk memperkasa, menggemilangkan dan menggalakkan kemajuan usahawan masyarakat India dalam bidang keusahawanan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, Skim ‘SPUMI Goes Big’ ini terbuka kepada semua usahawan masyarakat India yang ingin memperkembangkan perniagaan mereka.

“Inilah peluang terbaik untuk mereka memperkasakan diri dalam pelbagai sektor seperti kontraktor kecil, pertanian dan perusahaan asas tani, peruncitan, perkhidmatan, pembuatan dan perniagaan dalam talian.

“Usahawan-usahawan yang pernah menerima pembiayaan dari skim ini akan diberi keutamaan untuk mendapatkan pembiayaan yang lebih besar dan kemudahan lain yang disediakan oleh agensi di bawah KUSKOP melalui program ‘Groom Big’.

“Program ini membolehkan usahawan yang berdaftar dapat memperluaskan perniagaan ke tahap global. Usahawan SPUMI sedia ada yang telah mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh memohon ‘SPUMI Goes Big’ yang menawarkan pembiayaan dari RM50,000 sehingga RM100,000,” katanya pada Majlis Pelancaran ‘SPUMI Goes Big’ di Ibu Pejabat TEKUN Kuala Lumpur, hari ini.

‘SPUMI Goes Big’ ini boleh mula dimohon bermula 15 April ini. Sehingga Mac 2024, seramai 28,808 orang usahawan masyarakat India telah mendapat pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) sedia ada dengan nilai RM450.5 juta.

Tambahan sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan daripada bajet sedia ada RM30 juta pada tahun ini menjadikan keseluruhan peruntukan untuk usahawan masyarakat India berjumlah RM60 juta terbesar sejak skim ini diwujudkan.

-NIAGATIMES

SPUMI-Goes-Big-kredit-foto-KUSKOP.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.