Neural Pocket Inc, yang mengaplikasikan teknologi proprietari Edge AI untuk menganalisis imej dan video bagi bandar raya pintar telah membuka pejabat luar negara mereka yang pertama di Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Neural Pocket, Roi Shigematsu berkata, kemunculan negara-negara baharu terutamanya di Asia Tenggara yang kini berkembang pesat dari segi pembandaran disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang meledak, malah permintaan untuk infrastruktur berkualiti tinggi semakin meningkat, telah menarik perhatian syarikatnya.
“Negara-negara Asia Tenggara sedang membangunkan bandar raya pintar dengan menggunakan teknologi canggih seperti AI dan data besar dan membina infrastruktur generasi akan datang.
“Dengan pembukaan cawangan luar negara kami yang pertama di Singapura, kami akan mengembangkan lagi perniagaan kami merentasi Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Australia dan wilayah lain yang berkembang merentasi Asia Tenggara dan Pasifik,” katanya.
Berhubung peralatan Edge AI, syarikat itu sedang bekerjasama dengan Huawei dan NVIDIA untuk melakukan pengembangan perniagaan.
Malah, mereka turut bekerjasama dengan Macnica Corporation serta beberapa institusi dan pelabur kewangan Jepun terkemuka seperti Sumitomo Mitsui Banking Corporation, Mizuho Bank, SPARX Asset Management, University of Tokyo Edge Capital, Mizuho Capital dan SMBC Venture Capital.
Syarikat itu akan memanfaatkan rangkaian kolektif mereka di luar negara untuk mempercepatkan perluasan geografi.
Dari sudut akademik, Neural Pocket mendapat sokongan dari Profesor Yutaka Matsuo dari University of Tokyo, yang juga merupakan bekas profesor madya pelawat di Universiti Nasional Singapura.