Kementerian Pembangunan Usahawan memberi bayangan Dasar Keusahawanan Negara yang bakal dilancarkan pada pertengahan suku kedua tahun ini akan memberi fokus terhadap pertumbuhan sektor keusahawanan peringkat nasional menjelang tahun 2020.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, perlaksanaan dasar secara menyeluruh yang membabitkan semua golongan usahawan itu akan menjadi pemangkin untuk mencapai sasaran 41 peratus sumbangan sektor keusahawanan kepada ekonomi negara.
“Segala teras yang kita gariskan dalam dasar ini diharap mampu menjana pulangan sebanyak RM50 bilion sektor koperasi pada tahun 2020.
“Selain itu, ia juga dapat mewujudkan lebih sejuta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sepetang Bersama Pak Wan di Menara Kembar Bank Rakyat, semalam.