Daya tahan indusri sawit dalam tempoh PKP

Industri sawit negara tetap berdaya tahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.

Sektor pertanian terus menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara semasa pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, semasa pelaksanaan PKP pertama, hanya sektor pertanian mencatat pertumbuhan positif 0.9 peratus tahun ke tahun untuk suku kedua 2020.

Katanya, aktiviti ekonomi di sektor pertanian dibenarkan beroperasi semasa PKP dan penggiat industri meneruskan aktiviti di ladang dan rantaian bekalan seperti biasa.

Namun, mereka harus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), terutama pada had pekerja sehingga 60 peratus sahaja, yang berkuat kuasa mulai 26 Mei 2021.

Tambah Parveez, harga purata minyak sawit mentah (MSM) meningkat 66.9 peratus atau RM1,628 kepada RM4,061.50 per tan untuk separuh pertama 2021 daripada RM2,433.50 per tan untuk tempoh yang sama pada tahun 2020.

Nilai eksport minyak sawit pula meningkat 36.3 peratus atau RM7.69 bilion kepada RM28.87 bilion untuk tempoh Januari hingga Jun 2021 daripada RM21.19 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

MPOB menjangka kesan pandemik Covid-19 yang tidak ketara pada tahun 2021 kerana negara lebih bersedia untuk menguruskan kegiatan ekonomi di tengah pandemik tersebut.

Pertumbuhan ekonomi diunjur akan meningkat, didorong oleh pemulihan permintaan global yang kukuh dan peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta dengan sokongan berterusan dari dasar-dasar yang sedang dilaksanakan, jelasnya.

-NIAGATIMES

Sawit-kredit-Freepik.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.