Dedak sawit PKE selamat digunakan dalam bahan makanan lembu tenusu

Dedak isirung sawit (PKE atau PKC) selamat digunakan dalam bahan makanan untuk lembu tenusu dengan kajian yang menggunakan kumpulan PKE yang berbeza menunjukkan kesan positif secara konsisten terhadap prestasi dan kesihatan lembu tenusu.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kajian menunjukkan unsur surih yang berbeza daripada kumpulan pengeluaran PKE yang berbeza tidak mempunyai kesan negatif ke atas lembu tenusu.

“Penggunaan PKE dalam diet lembu tenusu dirumus oleh pakar pemakanan haiwan bagi memenuhi keperluan nutrien.

“PKE biasanya digunakan dalam nisbah tertentu dengan bahan makanan lain, menghasilkan tahap unsur surih dalam diet yang lebih bermanfaat dan lebih selamat untuk haiwan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelas Parveez, penemuan penyelidikan ini bercanggah dengan satu artikel yang diterbitkan baru-baru ini yang menyatakan bahawa PKE mengandungi kepekatan beberapa unsur seperti besi, magnesium dan fosforus yang melebihi paras selamat untuk kesihatan lembu tenusu.

“Dakwaan di dalam artikel tersebut tidak dibuktikan secara saintifik dalam percubaan pemberian makanan dan dibuat semata-mata untuk mempromosikan penggunaan bahan sisa makanan tempatan mereka yang banyak sebagai alternatif kepada PKE dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang dihasilkan di tapak pelupusan di negara mereka,” ujarnya.

Baru-baru ini sebuah artikel menyebut bahawa beberapa kelompok di dalam PKE mengandungi kepekatan aluminium, kuprum (tembaga), sulfur dan kalium dalam 90 peratus daripada had selamatnya.

Dakwaan lain di dalam artikel itu termasuk isu biodiversiti akibat penebangan hutan hujan tropika untuk pengeluaran minyak sawit.

Tambah Parveez, PKE telah digunakan secara meluas dalam diet lembu tenusu selama beberapa dekad dan kesan baiknya telah dilaporkan oleh ramai penyelidik.

Jelasnya, kajian mendedahkan bahawa penggunaan PKC sehingga 15 peratus daripada diet lembu tenusu mengurangkan kos makanan dan meningkatkan kandungan protein susu tanpa menjejaskan hasil susu.

-NIAGATIMES

gambar-hiasan-KREDIT-The-Palm-Scribe.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.