Delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof akan menyertai Mesyuarat Menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana Kerjasama Asia Pasifik (APEC SME) ke-25 di Chile yang dijadualkan bermula esok di Concepcion, Chile bagi mempromosi hubungan rentas sempadan dan membuka peluang kepada PKS untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai.

Mesyuarat yang bakal berlangsung selama dua hari itu turut disertai pengiring-pengiring iaitu para pegawai kanan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

MED dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat itu akan memberi fokus terhadap perbincangan kepentingan menggabungkan pengantarabangsaan sebagai strategi kompetitif.

“Pada Mesyuarat PKS APEC, Mohd Redzuan dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan APEC seperti Chile dan China untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan tekini berkaitan PKS dan keusahawanan selain meneroka potensi kerjasama dua hala dengan ekonomi lain APEC.

“Pelbagai program sampingan juga akan diadakan bersempena dengan mesyuarat tersebut termasuklah Forum Atas Talian (O2O), dan Sidang Kemuncak Fintech Antarabangsa APEC yang akan dihadiri oleh pegawai dari MaGIC dan SME Bank,” kata kenyataan itu hari ini.

Redzuan-Yusof-Kredit-foto-SME-Corp.jpg