Digitalisasi bantu PKS, usahawan mikro capai tranformasi perniagaan

OLEH: Dr. Siti Afiqah Zainuddin

Mengapa digitalisasi mampu transformasikan perniagaan pada hari ini? Penggunaan automasi dan teknologi digital dalam perniagaan ketika krisis pandemik Covid-19 adalah jalan terbaik untuk membolehkan pertumbuhan ekonomi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro meningkatkan kecekapan dan daya saing dan seterusnya menjana keuntungan.

Justeru, teknologi digital, seperti internet dan teknologi mudah alih telah mengubah sektor perindustrian terutamanya berkaitan pengoperasian dan menyusun atur syarikat kerana ciri-ciri dan kepantasan inovasi teknologi digital.

Selain itu, teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai ‘Artificial Intelligence’ (AI) turut dilhat mampu mengautomasikan operasi dan kerja dengan lebih menjimatkan banyak masa dan tenaga manusia.

Namun, tidak mudah bagi syarikat atau usahawan PKS untuk menerima dan mengaplikasikan transformasi digital dalam perniagaan mereka.

Justeru, kerajaan memperuntukkan pelbagai inisiatif serta bantuan pembangunan teknologi digital kepada PKS dan usahawan mikro pada Belanjawan 2021 baru-baru ini untuk memberi nafas baharu kepada PKS meneruskan perniagaan mereka.

Dalam Belanjawan 2021 kerajaan telah memperkenalkan geran khas Skim Transformasi Digitalisasi Industri melalui Bank Pembangunan Malaysia (BPMB) kepada PKS, menerusi geran BPMB itu sebanyak RM1 bilion diperuntukkan yang bertujuan untuk meningkatkan pembangunan digitalisasi dalam perniagaan.

Selain itu, RM150 juta sebagai dana tambahan turut diperuntukan untuk mendukung kepada automasi dan modenisasi iaitu melalui Skim Geran Digitalisasi dan Geran Automasi.

Melalui peruntukan geran ini, PKS mikro dan syarikat layak memohon dengan syarat sekurang-kurangnya enam bulan telah beroperasi.

Justeru, penyediaan dana khas teknologi digital ini dapat membantu industri PKS menuju ke arah globalisasi, meningkatkan daya saing dan persaingan yang lebih kompetitif.

PELUANG PERLUASAN DAN PERTUMBUHAN UNTUK PKS

Sebelum wujudnya era ‘norma baharu’, terdapat banyak cara yang dapat dilakukan oleh PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka dan merancang pertumbuhan.

Di antaranya ialah dengan membangunkan corong jualan, membuat program kesetiaan pelanggan, mempelajari persaingan dengan lebih mendalam, membentuk persekutuan strategi, bekerja dengan data raya untuk mengenalpasti kelompok pelanggan yang berpotensi, mempertimbangkan model francais dan banyak lagi.

Namun, apabila fenomena ‘norma baharu’ masuk ke dalam lanskap ekonomi Malaysia, pilihan ini menjadi kurang relevan lagi bagi PKS. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di era ‘norma baharu’ telah membatasi pergerakan dalam aktiviti perniagaan dan menyulitkan mobiliti perniagaan dari satu lokasi ke lokasi lain.

Akibatnya, ia telah melambatkan pengembangan kemajuan dan membantut pertumbuhan PKS. Dengan mengambil kira kekangan dan limitasi yang dihadapi oleh PKS ini, Kerajaan melalui Bajet 2021 telah mengusulkan satu usaha untuk mendukung pengembangan bidang sains dan teknologi.

Oleh itu, kerajaan akan memperuntukkan RM400 juta khusus untuk membiayai projek-projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usaha mencipta dan mencari cara baru untuk membantu perluasan dan pertumbuhan PKS melalui penggunaan teknologi.

Dengan itu, RM20 juta lagi diperuntukkan dalam mewujudkan kepakaran dalam bidang sains dan teknologi.

Mengikuti perkembangan aktiviti digitalisasi yang sedang dijalankan oleh kerajaan, PKS dan perusahaan mikro termasuk di dalam gelombang pertama pengembangan pengembangan perniagaan seperti sejumlah RM 150 juta untuk program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital.

Ini melibatkan 10,000 pengusaha tempatan untuk mendorong penerapan e-dagang di bawah kempen PKS e-dagang dan PKS mikro.

Menurut Forbes, syarikat yang masih belum melaburkan perniagaan mereka kepada digitalisasi pada tahun 2020 berkemungkinan besar tidak akan dapat bertahan pada tahun 2021. Transformasi digital adalah suatu kemestian bagi setiap perniagaan pada masa kini dalam memastikan kelestarian perniagaan mereka.

Pada Belanjawan 2021, kerajaan telah memperuntukkan RM150 juta untuk inisiatif ‘Shop Malaysia Online’ sebagai usaha mendorong PKS memasuki ekonomi digital dengan menggunakan platform e-dagang.

Semua PKS harus merebut peluang untuk menukar operasi tradisional mereka ke platform dalam talian. Di samping itu, kerajaan juga memperuntukkan RM 100 juta dalam Belanjawan 2021 untuk latihan ICT untuk meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia.

Untuk pulih, banyak PKS telah memutuskan untuk mengekalkan produk mereka namun mengubah model perniagaan dan mengambil pendekatan perniagaan secara dalam talian.

Oleh itu, kerajaan telah memperuntukkan bajet untuk membantu PKS menyiapkan diri dengan lebih pantas ke arah digitalisasi.

PKS telah disarankan untuk menyertai jaringan program Jaringan Prihatin dan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2021.

Salah satu objektif Belanjawan 2021 adalah untuk memberi tumpuan kepada kelangsungan perniagaan. Lebih banyak dana diperuntukkan untuk menyokong aktiviti keusahawanan agar dapat bertahan dalam ekonomi yang mencabar saat ini.

Dana ini turut menawarkan peluang perniagaan baru kepada PKS terutamanya perusahaan mikro dan pengusaha wanita. Apa yang lebih penting adalah kerajaan juga melakukan banyak usaha untuk mendorong PKS untuk memperoleh daya saing dengan mengaplikasikan teknologi IR4.0 dan digital dalam operasi perniagaan mereka kerana RM1 juta telah diperuntukkan untuk sektor ini.

Di samping itu, Belanjawan 2021 telah memperuntukkan RM100 juta untuk program latihan melalui Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Oleh itu, ia membuka peluang kepada pemilik perniagaan yang prihatin terhadap kemampuan digital pekerja mereka untuk mengambil tindakan bagi meningkatkan kemahiran pekerja mereka dan sekaligus mampu berdaya saing dengan pengusaha kecil yang lain.

Sebagai contoh, program transformasi perniagaan adalah salah satu pendekatan kerajaan bagi meningkatkan kemampuan perniagaan bersaiz mikro dan kecil dalam mengharungi norma perniagaan baru.

Tambahan lagi, kempen promosi digitalisasi PKS seperti insentif e-dagang dan geran digitalisasi dan automasi mencerminkan usaha serius kerajaan untuk meningkatkan daya saing PKS.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Belanjawan 2021 telah berjaya menyediakan program sokongan komprehensif dalam mempersiapkan PKS untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi ekoran wabak covid-19.

Justeru, sistem penyampaian yang cekap dan berkesan sangat diperlukan agar semua insentif dan sokongan yang digariskan dalam Belanjawan 2021 dapat memberi manafaat kepada semua PKS.

Manakala adalah penting untuk PKS menggunakan semua insentif dan program sokongan dengan efisyen agar objektif dan aspirasi kerajaan tercapai.

-NIAGATIMES

** Dr. Siti Afiqah merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan dan Perakaunan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan di Universiti Malaysia Kelantan.

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi NiagaTimes mahupun niagatimes.com)

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.