Keupayaan syarikat-syarikat di Malaysia menyesuaikan diri dengan mengadaptasi digitalisasi adalah penting bagi kekal kompetitif. Ianya merupakan keperluan strategik untuk meningkatkan kecekapan operasi bagi syarikat kekal relevan.
Dengan kemajuan teknologi seperti automasi, analisis data, dan kecerdasan buatan (AI), syarikat dapat membuat keputusan operasi yang lebih tepat dan cepat, secara masa nyata.
Selain dari peningkatan kecekapan kerja, penggunaan automasi juga membenarkan semakan dan analisa data secara atas talian, dan secara kawalan jauh. Ini dapat meningkatkan tahap produktiviti dan fleksibiliti warga kerja disebabkan tidak perlu berada di kawasan operasi bagi memeriksa keadaan mesin.
Namun, dianggarkan hanya 18 peratus syarikat pembuatan di Malaysia mengadaptasi digitalisasi melalui inisiatif Industri 4.0, dan ini merupakan peratusan yang rendah.
Di antara sebab menyumbang kepada peratusan ini ialah kurangnya kepakaran dalaman bagi menjalankan transformasi yang berkesan. Inisiatif seperti Program Peningkatan Produktiviti melalui Digital LEAN berupaya membantu syarikat menangani cabaran ini dengan lebih efektif dan meningkatkan produktiviti.
Dengan sokongan kepakaran luar, syarikat dapat mengenalpasti pembaziran dan memperbaiki kelemahan dalam proses dalaman secara lebih berkesan.
Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail menggalakkan lebih banyak syarikat untuk mengadaptasi teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan operasi mereka.
“Penggunaan digitalisasi merupakan langkah strategik bagi syarikat untuk memajukan operasi dan meraih kelebihan kompetitif. Ia membolehkan syarikat menjalankan operasi dengan lebih cekap, responsif, dan inovatif,” katanya.
Digitalisasi adalah kunci kepada pembangunan mampan syarikat, membantu syarikat bersaing di peringkat global sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Peningkatan Produktiviti, sila hubungi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
-NIAGATIMES






















































