Program keusahawanan Diplomat Success Challenge ke-10 anjuran Yayasan Wismilak Indonesia yang kembali dibuka penyertaannya kepada umum pada tahun ini berjaya mendapat sambutan memberangsangkan setelah 12,500 usahawan dmaklumkan telah mendaftar, menurut laporan portal Liputan 6.
Pengasas Diplomat Success Challenge yang juga Pengurus Pemasaran Komuniti dan Acara Wismilak, Edric Chandra berkata, faktor penganjuran program yang diadakan buat kali kesepuluh dengan pendekatan serta pengisian berbeza berbanding tahun 2017 dan 2018 dipercayai menjadi tarikan kepada peningkatan jumlah penyertaan sebanyak 100 peratus.
“Berdasarkan respons yang diterima, jelaslah bahawa cabaran kami telah disahut. Hal ini membuktikan bahawa generasi milenium dan usahawan Indonesia bersedia menyumbang idea keusahawanan dalam acara sebesar ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambah Edric, pendekatan dan pengisian program kali ini yang bakal dinilai oleh Lembaga Pesuruhjaya dan Juri akan memberi fokus kepada tujuh kategori perniagaan iaitu pertanian, makanan dan minuman, kraftangan dan fesyen, teknologi huluan dan hiliran, pemula digital serta lain-lain kategori.