Rabu, 6 September 2017 – Syarikat pegangan pelaburan Dagang NeXchange Bhd (DNeX) menandatangani memorandum persefahaman dengan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bagi membantu syarikat di bawah dewan berkenaan mempromosikan perkhidmatan dan produk halal melalui platform dagangannya, GoHalal.

DNeX berkata, melalui GoHalal, yang adalah pasaran elektronik industri halal, syarikat dan peniaga akan mempunyai akses kepada pasaran global bercirikan gaya hidup Muslim yang bernilai AS$2.5 trilion dan sekarang ini, dewan itu mempunyai lebih daripada 2,000 anggota.

“Kami akan membawa industri halal ke arah perkhidmatan dalam talian di mana syarikat atau individu boleh mendapatkan pembekal serta pembeli bagi produk dan perkhidmatan, termasuk bertukar-tukar maklumat,” kata Timbalan Pengerusi Eksekutif DNeX Datuk Samsul Husin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, syarikat itu teruja untuk bekerjasama dengan DPIM dan menawarkan e-pasaran kepada peniaganya bagi membolehkan pengguna mendapat akses kepada produk halal serta perkhidmatan secara global.

“Kami melihat ini sebagai satu perkongsian strategik di mana sebuah syarikat tersenarai awam bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran global melalui e-dagang,” katanya

SUMBER: www.bharian.com.my