DR. GOH CETUS MEDIUM RAWATAN BAHARU DOUX VISAGE

Siapa sangka amalan perubatan Cina yang terkenal dengan ciri-ciri tradisional boleh digabungkan dengan teknologi Barat? Itulah titik tolak yang menjadi nadi kejayaan Dr. Jenny Goh. Meskipun hanya bermula sebagai ahli terapi kecantikan, dia bercita-cita tinggi denggan mahu memanfaatkan segala pengalaman dan kemahiran yang dipelajari melalui penubuhan pusat kecantikan baharu, Doux Visage. Dalam sesi temu bual, Dr. Goh berkongsi tentang perjalanan dan pencapaian keusahawanannya dalam industri kesihatan badan, cabaran yang dihadapi serta komitmennya terhadap kesihatan holistik.

Dr. Jenny Goh dilahirkan dan dibesarkan oleh keluarganya di Petaling Jaya. Dia kemudiannya berhijrah ke Sri Petaling. Mengimbau kembali kenangan sewaktu terlibat dalam khidmat mengendalikan pelanggan, Dr. Goh pernah bekerja di restoran milik ayahnya di Sri Petaling. “Ayah saya mempunyai sebuah restoran terkenal di Sri Petaling dan saya membantunya sejak berusia lapan tahun,” kata Dr. Goh. Pada waktu itu, dia yang bercita-cita mengecap kerjaya dalam bidang perubatan terpaksa melupakan hasrat tersebut disebabkan faktor aliran akademik yang tidak sesuai. “Saya seterusnya meletakkan ketetapan kepada ibu bapa untuk menentukan kerjaya masa depan saya. Mereka pun membuat keputusan untuk menghantar saya ke sekolah kecantikan,” kata Dr. Goh.

Setelah menamatkan pengajian peringkat diploma kecantikan, Dr. Goh tidak menoleh ke belakang dan terus bekerjaya selama enam tahun. Di situlah secara tidak diduga tiba-tiba haluan kerjayanya sedikit beralih arah menjadi usahawan. “Tidak pernah terlintas langsung minat saya berubah kerana pada masa itu saya hanya mahu menjadi ahli terapi kecantikan,” kata Dr. Goh sambil tertawa. Peluang yang terbuka tanpa disangka-sangka tersebut datangnya daripada seorang bekas pelanggan yang kagum dan berpuas hati dengan hasil kerjanya. Dr. Goh terus ditawarkan menyertai lembaga pengurusan pusat kecantikan Doux Visage. “Tawaran itu terlalu bagus untuk saya tolak. Walaupun kurang arif berkenaan tugas menguruskan perniagaan, saya sahut cabaran itu,” katanya.

Terletak di Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur, Doux Visage mengalami naik taraf bermula dari salun kecantikan tiga tingkat menjadi rangkaian dua kedai bersebelahan. Khidmat rawatan seluruh badan dengan aplikasi profesionalisme dalam kemahiran dan pengetahuan nyata menjadi nadi perkhidmatan cemerlang identiti Dr. Goh dan Doux Visage.

Dr. Goh mencetus pembaharuan dengan memanfaatkan kepelbagaian amalan Timur yang disokong oleh teknologi Barat di Doux Visage

Secara tidak langsung, bermula itulah tercetus ideanya untuk menggabungkan teknologi Barat dengan perubatan tradisional Cina. “Di sini, kami memanfaatkan kepelbagaian amalan Timur yang disokong oleh teknologi Barat,” kata Dr. Goh. Menurutnya, Berdasarkan pembelajaran rawatan fitohormon sewaktu menuntut di Universiti Perubatan China di Guangzhou, dia telah berjaya menggabungkan akupunktur dengan rawatan berasaskan tumbuhan. “Dalam masa terdekat, kami berharap dapat memasukkan unsur perubatan tradisional Cina yang melibatkan item terkawal. Selain itu, kami juga menggunakan pendekatan gabungan teknik Timur dan Barat bagi urutan dan perkhidmatan wajah sebagai pelengkap bagi pakej perkhidmatan yang ditawarkan,” jelas Dr. Goh.

Benarlah seperti yang dikatakan peribahasa ‘jauh perjalanan luas pengetahuan’. Sifat ingin terus mempertingkatkan kemampuan diri yang dimiliki Dr. Goh telah mendorongnya untuk menyambung pendidikan. “Salah satu sebab saya mengusahakan kelayakan Doktor Perubatan kedua adalah kerana nekad ingin mendalami lebih lanjut tentang amalan perubatan tradisional Cina. Ia nyata berbaloi apabila usaha saya tersebut memberi impak positif sehinggakan saya dimaklumkan oleh salah seorang profesor di sana bahawa penyelidikan berharga saya akan dibentangkan kepada kerajaan China,” katanya tersenyum.

Tambah membanggakan, kejayaan Dr. Goh mengeluarkan produk tersendiri iaitu ‘Dr Goh Restorative Formula’ pada Januari lepas membuktikan betapa komited dirinya dalam bidang kecantikan dan kesihatan. Produk berkenaan direka khas berasaskan bahan tumbuhan khusus untuk penjagaan kulit. “Walaupun terpaksa berdepan banyak proses rumit untuk menyudahkannya, malah perlu berulang-alik ke Korea di mana produk itu dihasilkan, ia berbaloi kerana Dr. Goh adalah jenama milik saya sendiri,” katanya.

Menutup bicara dengan pesanan khusus untuk golongan belia yang berminat menceburi kerjaya sebagai usahawan, Dr. Goh mengingatkan betapa fokus dan belajar dari pengalaman memainkan peranan penting. Dia percaya bahawa walaupun menjadi keutamaan untuk melihat ke hadapan, masa lalu tidak sesekali boleh diabaikan. Perkembangan belia yang serba pantas ketika ini di zaman berteknologi tidak seharusnya dijadikan alasan untuk hilang nilai norma terutamanya sewaktu berdepan warga dewasa yang lebih berpengalaman kerana kesemuanya saling memerlukan.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.