Drypers, Vinda perluas platform ‘Parent-preneurs’ sokong ibu bapa jana pendapatan

Jenama penjagaan bayi Drypers bersama Vinda Malaysia memperluaskan inisiatif keibubapaan mereka menerusi pelancaran platform ‘Parent-preneurs: The Power Duo’, yang bertujuan memperkasakan ibu bapa dalam aspek kehidupan harian serta peluang menjana pendapatan.

Inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan kepada program ‘Power of Parent-preneurs’ yang diperkenalkan tahun lalu, dengan penambahbaikan melibatkan integrasi sokongan produk, komuniti serta penglibatan dalam ekonomi pencipta kandungan.

Menurut Ketua Pengurus Vinda Malaysia, Yapp Pau Ling, kolaborasi itu mencerminkan perubahan gaya hidup keluarga moden yang kini memerlukan penyelesaian menyeluruh merangkumi penjagaan bayi, pengurusan rumah tangga dan peluang ekonomi digital.

“Melalui platform ini, kami bukan sahaja menyediakan produk berkualiti, malah membuka ruang kepada ibu bapa untuk berkongsi pengalaman mereka dan menukarkannya kepada sumber pendapatan yang praktikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Program berkenaan mengetengahkan konsep ‘Comfort for Baby, Strong for Every Mess’, yang menggabungkan keperluan penjagaan bayi dengan penyelesaian pembersihan rumah di bawah satu platform bersepadu.

Pelancaran tersebut berlangsung di Pusat Persidangan dan Acara The Vertical Connexion di Bangsar South, dengan kehadiran kira-kira 700 peserta terdiri daripada rakan afiliasi, pencipta kandungan serta keluarga.

Acara itu turut menampilkan pelancaran produk baharu dan dipertingkat termasuk Drypers Wee Wee Dry serta rangkaian produk dapur Vinda Deluxe. Selain itu, ia diserikan dengan aktiviti kekeluargaan, sesi rangkaian pencipta kandungan, persembahan artis Aisha Retno serta perkongsian ilmu oleh pakar pediatrik dan dermatologi pediatrik, Dr Mimi Wong.

Inisiatif tersebut mencerminkan peranan baharu ibu bapa yang bukan sahaja menguruskan keluarga, malah turut mempengaruhi keputusan pembelian dan membina komuniti berasaskan pengalaman sebenar.

Melalui gabungan inovasi produk dan peluang penglibatan dalam program afiliasi, platform ‘Parent-preneurs’ dilihat mampu membantu ibu bapa menukar pengalaman harian kepada nilai ekonomi yang lebih bermakna.

Dalam masa sama, kedua-dua jenama menekankan aspek keselamatan dan kualiti produk, termasuk penggunaan bahan yang memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa serta bebas bahan berbahaya.

Pendekatan itu sejajar dengan matlamat untuk meringankan beban harian keluarga dan memberikan ketenangan kepada ibu bapa dalam menguruskan kehidupan seharian.

-NIAGATIMES

Drypers-Vinda-1.jpg