Transaksi e-pembayaran di Malaysia mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 25 peratus kepada 18.4 bilion pada 2025 berbanding 14.7 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam Laporan Tahunan 2025, bank pusat itu memaklumkan purata e-pembayaran per kapita turut meningkat kepada 538 transaksi berbanding 432 pada 2024, sekali gus mencerminkan penerimaan meluas terhadap kaedah pembayaran digital dalam kalangan rakyat.
Menurut BNM, pertumbuhan ini mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 17 peratus bagi tempoh 2022 hingga 2025, melepasi sasaran minimum 15 peratus yang ditetapkan di bawah Pelan Sektor Kewangan 2022–2026.
“Peningkatan ini didorong oleh aktiviti perbelanjaan pengguna yang berterusan, dengan nilai transaksi e-pembayaran runcit meningkat 19 peratus kepada RM831 bilion pada 2025 berbanding RM698.2 bilion pada tahun sebelumnya,” menurut laporan itu.
BNM turut memaklumkan purata nilai transaksi e-wang meningkat kepada RM43 berbanding RM33 pada 2024, menunjukkan tahap keyakinan pengguna yang semakin tinggi untuk menggunakan kaedah tersebut, termasuk bagi pembayaran bernilai lebih besar.
Dari sudut perbankan, penggunaan perbankan mudah alih terus mengatasi perbankan internet, didorong oleh penembusan telefon pintar yang meluas dan kemudahan akses pada bila-bila masa.
Sementara itu, transaksi kad debit mencatatkan pertumbuhan lebih pantas berbanding kad kredit, masing-masing meningkat 20.5 peratus dan 10.9 peratus. Walau bagaimanapun, purata nilai transaksi kad debit menurun kepada RM69 daripada RM78 sebelumnya.
Pembayaran tanpa sentuh turut berkembang sebanyak 20.3 peratus kepada dua bilion transaksi, manakala penggunaan DuitNow QR melonjak dua kali ganda kepada tiga bilion transaksi dengan hampir tiga juta lokasi penerimaan berdaftar di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, perkhidmatan kiriman wang elektronik meningkat 70.1 peratus kepada RM31.6 bilion, menyumbang lebih separuh daripada jumlah kiriman wang ke luar negara, dengan Bangladesh, Indonesia dan Myanmar sebagai destinasi utama.
BNM berkata pihaknya akan terus memperkukuh keselamatan sistem pembayaran digital selain memperluas penggunaan teknologi kewangan baharu seperti aset ditokenkan dan mata wang digital bank pusat (CBDC) bagi memastikan kestabilan serta kepercayaan dalam ekosistem kewangan negara.
-NIAGATIMES




















































