Dunia Agro+ sasar tingkat keupayaan e-dagang usahawan agro

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Shopee Malaysia melancarkan program KPKM Dunia Agro+, satu inisiatif baharu bagi memperkasakan usahawan asas tani melalui pemerkasaan digital dan peluasan akses pasaran e-dagang.

Program yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin itu menyasarkan penyertaan 200 usahawan melibatkan kategori makanan, minuman, snek serta produk segar.

Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran digital dan literasi kewangan dalam kalangan peserta, sekali gus membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan perniagaan moden yang semakin berteraskan teknologi.

Melalui kerjasama ini, Shopee akan menyokong peserta menerusi inisiatif ShopeeRaiLokal dengan memanfaatkan ekosistem e-dagangnya, khususnya dalam membantu peniaga baharu menembusi pasaran digital.

Ketua Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Nik Din berkata pihaknya komited menyediakan latihan berstruktur melalui Shopee University termasuk aspek penstriman langsung, pengoptimuman penyenaraian produk dan strategi jualan dalam talian.

“Usaha ini bertujuan membantu usahawan membina kemahiran digital yang relevan bagi meningkatkan capaian kepada pengguna serta mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Program itu turut merangkumi pendekatan menyeluruh termasuk latihan pembangunan kapasiti, penggunaan teknologi digital serta penerokaan saluran interaktif seperti penstriman langsung bagi menarik minat pelanggan secara lebih berkesan.

Selain itu, pakej sokongan penjual bernilai RM320,000 turut disediakan bagi membantu peserta meningkatkan keterlihatan kedai, memperkukuh penglibatan pelanggan serta menambah peluang jualan di platform berkenaan.

Dalam ucapannya, Chan menegaskan kepentingan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam melengkapkan usahawan dengan kemahiran digital yang kini menjadi elemen penting dalam pertumbuhan perniagaan.

Beliau berkata inisiatif itu juga selari dengan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 yang menekankan pembangunan ekosistem agromakanan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.

Program Dunia Agro+ dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi sektor pertanian negara dengan memperkukuh daya saing usahawan tempatan dalam landskap ekonomi digital yang kian berkembang.

-NIAGATIMES

Peluncuran-Program-KPKM-Dunia-Agro-Bersama-Shopee-Malaysia_02.jpg