Ekonomi Malaysia, China stabil di tengah tekanan pasaran global

Malaysia dan China terus menunjukkan daya tahan ekonomi yang kukuh di Asia ketika pasaran tenaga global berdepan ketidaktentuan susulan konflik berpanjangan di Asia Barat.

Ketua JP Morgan bagi Asia merangkap Ketua Bersama Strategi Ekuiti Pasaran Pesat Membangun Global, Rajiv Batra, berkata kebanyakan ekonomi lain di rantau ini lebih terdedah kepada kejutan tenaga berbanding kedua-dua negara tersebut.

Menurut beliau, kekuatan Malaysia didorong oleh statusnya sebagai pengeksport tenaga serta pengurusan dasar ekonomi yang berdisiplin. Keadaan ini membantu negara mengekalkan defisit fiskal pada tahap terkawal selain inflasi yang sederhana.

“Faktor-faktor ini menyokong kestabilan pasaran ekuiti dan mata wang Malaysia dalam keadaan tekanan luaran,” katanya dalam wawancara bersama CNBC.

Bagi China pula, Rajiv berkata kebergantungan negara itu terhadap import tenaga bagi penjanaan elektrik adalah rendah, iaitu sekitar lima peratus, dengan sebahagian besar tenaga dijana secara domestik.

Selain itu, China mempunyai rizab strategik yang besar serta keupayaan untuk meningkatkan penggunaan sumber tenaga alternatif seperti arang batu dan tenaga boleh baharu sekiranya diperlukan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan prospek ekonomi global masih tidak menentu, khususnya jika ketegangan geopolitik terus menjejaskan rantaian bekalan minyak dan gas melalui gangguan infrastruktur serta kelewatan logistik.

Dari sudut pasaran ekuiti, sektor yang sensitif terhadap tenaga seperti barangan pengguna, utiliti dan industri hiliran dijangka menerima kesan paling awal.

Namun, sekiranya situasi berlarutan, kesannya boleh merebak ke sektor lain termasuk kewangan, teknologi, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan.

Rajiv turut berpandangan bahawa pasaran ketika ini masih belum mengambil kira sepenuhnya kemungkinan senario terburuk, sebaliknya menjangkakan ekonomi global akan terus berkembang secara sederhana meskipun berdepan cabaran.

-NIAGATIMES

gambar-hiasan-kredit-Perwakilan-Tetap-Malaysia-ke-ASEAN-Jakarta.jpg