Ekonomi Malaysia makin positif, raih RM64.8 bilion pelaburan hingga Jun 2020

Malaysia berjaya mencatat pelaburan bernilai RM64.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama, untuk enam bulan pertama tahun 2020 melibatkan 1,725 projek dengan potensi 37,110 peluang pekerjaan meskipun berdepan pelbagai cabaran ekonomi dunia.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak 69.8 peratus atau RM45.3 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM19.5 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

“Singapura (RM4.9 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion), China (RM2.2 bilion), Amerika Syarikat (RM2.2 bilion) dan Thailand (RM1.8 bilion) merupakan penyumbang terbesar FDI untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh tersebut.

“Untuk projek yang diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuanb Kuala Lumpur dan Johor menyumbang sebanyak RM47.1 bilion (72.6 peratus) kepada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk Januari hingga Jun 2020,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penekanan yang lebih besar sedang diberikan untuk mendorong pelaburan domestik dan mengubah lebih banyak syarikat domestik menjadi pemain global.

“Kami akan terus mengutamakan pecutan penerapan teknologi di semua segmen ekonomi dengan memanfaatkan potensi Industri 4.0 untuk meningkatkan produktivi dan daya saing Malaysia,” ujarnya.

-NIAGATIMES

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.