Syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian berkaitan kerajaan, Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) melancarkan dana keempatnya yang dikenali sebagai Fund IV bernilai RM1 bilion dengan potensi kenaikan menjadi RM1.5 bilion bertujuan memperkasakan pertumbuhan perniagaan tempatan yang berpotensi tinggi.
Dana baharu tersebut akan bertumpu pada Malaysia dengan penekanan terhadap sektor teras seperti pendidikan, minyak dan gas, barangan pengguna laris (FMCG), peruncitan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan serta sektor lain dengan prospek yang positif.
Ketua Pegawai Eksekutif EKUINAS, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, pelancaran dana keempat itu adalah sejajar dengan strategi dan rancangan perniagaan pihaknya untuk fasa seterusnya berdasarkan Belanjawan 2019 yang mempermudah dan mesra perniagaan.
โUsaha kerajaan dalam menggalakkan kerjasama dan perdagangan antara negara-negara ASEAN telah mewujudkan persekitaran perniagaan serantau dinamik, yang akan memberikan kesan positif terhadap syarikat-syarikat dan juga ekonomi tempatan.
โKami melihat pemangkin ini sebagai faktor yang akan menyokong kadar pertumbuhan Malaysia pada 2019 dan EKUINAS akan terus berusaha untuk melaksanakan mandat dalam memperkasa syarikat-syarikat berpotensi tinggi Malaysia dengan membina asas kukuh bagi mencapai mercu pertumbuhan seterusnya, sambil menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia secara lebih meluas,โ katanya dalam satu kenyataan, semalam.