Equinix Inc. (Equinix), syarikat infrastruktur digital dunia, hari ini mengumumkan penyempurnaan fasa kedua bagi pusat data miliknya, KL1 International Business Exchange (IBX) di Kuala Lumpur.
Pengembangan ini, bersama dengan tapak teguhnya di Singapura dan Johor serta langkahnya untuk berkembang ke Indonesia, Filipina dan Thailand, akan memudahkan syarikat perniagaan di rantau ASEAN untuk saling berhubungan dan bertukar data.
“Sejak tahun lalu, momentum memang menggalakkan, dengan kedua-dua pusat data di Kuala Lumpur dan Johor kami terus meraih perhatian kalangan syarikat tempatan dan antarabangsa.
“Penyempurnaan fasa kedua KL1 dalam tahun pertama operasi kami mempamerkan komitmen tinggi Equinix untuk membantu Malaysia menjadi lokasi strategik dalam ekonomi digital rantau ini,” ujar Pengarah Urusan Equinix Malaysia, Cheam Tat Inn.
Pengembangan Equinix di Malaysia merupakan komitmen pelaburan jangka panjang dalam pertumbuhan digital negara.
Equinix telah menghubungkan pusat datanya di Malaysia (KL1 dan JH1) dengan kampus yang sedia ada di Singapura melalui Equinix Fabric®, untuk mewujudkan sebuah ekosistem digital merentasi sempadan yang mencakupi 1,000 buah syarikat perkhidmatan awan dan rangkaian, IT, dan perkhidmatan kewangan di rantau ini.
Pengembangan terbaru ini yang menambah 450 buah kabinet di pusat data KL1 adalah untuk memenuhi kenaikan permintaan infrastruktur digital di seluruh Malaysia. Sejak pelancaran operasinya pada tahun 2024, Equinix telah berjaya mendapatkan pelanggan antarabangsa dan tempatan dari pelbagai sektor termasuk perkhidmatan awan dan IT, kandungan dan media digital, perusahaan, serta penyedia rangkaian.
-NIAGATIMES