Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan potongan tambang 30 peratus bagi meraikan pembukaan rasmi perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke JB Sentral bermula Jumaat ini.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan promosi itu sah untuk perjalanan antara KL Sentral dan JB Sentral dari 12 Disember hingga 11 Januari 2026, dengan penggunaan kod khas JBBEST. Sebanyak 5,000 kod disediakan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, pengenalan perkhidmatan ETS ke selatan Semenanjung itu bakal memudahkan pergerakan harian penumpang selain menyokong peningkatan aktiviti pelancongan domestik, khususnya di Johor.
“Waktu pelaksanaannya amat sesuai ketika musim cuti hujung tahun. Ia memberikan pilihan perjalanan lebih cepat dan selesa buat rakyat Malaysia yang menuju ke Johor, manakala penduduk Johor turut mendapat manfaat menerusi sambungan tren ETS untuk ke destinasi lain,” katanya.
Beliau menambah, perluasan laluan itu turut berpotensi menarik lebih ramai pelawat dari Singapura, sekali gus memberi kesan positif kepada ekonomi setempat.
Menurut KTMB, tiket boleh dibeli melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau mesin kios di stesen.
Tempahan untuk perjalanan sehingga Mei 2026 juga telah dibuka, membolehkan orang ramai merancang perjalanan awal, termasuk musim perayaan akan datang.
Pembukaan perkhidmatan baharu itu menandakan penyempurnaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB), melibatkan jajaran 192 kilometer dengan 11 stesen yang disiapkan mengikut jadual.
Laluan ETS yang dipanjangkan ke Johor Bahru turut berhenti di Rengam, Layang-Layang, Kulai dan Kempas Baru sebelum berakhir di JB Sentral.
KTMB turut menyatakan bahawa perkhidmatan ETS sektor utara akan diaktifkan secara berfasa selaras dengan proses pentauliahan tren.
Sementara itu, KTMB menjangka perkhidmatan Komuter Selatan dari JB Sentral ke Kulai sepanjang 25 kilometer akan mula beroperasi dalam masa terdekat, yang dijangka mengurangkan separuh masa perjalanan pada waktu puncak berbanding menaiki kenderaan persendirian.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang KTMB atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200.
-NIAGATIMES






















































