Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah melancarkan QV-E, kereta elektrik (EV) pertama buatan Malaysia, sekali gus menandakan satu pencapaian baharu dalam industri automotif negara.
Ditawarkan pada harga RM80,000 tidak termasuk insurans dan bateri, model tersebut dibangunkan dengan pelaburan keseluruhan berjumlah RM800 juta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata model baharu berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha nasional untuk memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik tempatan yang lebih mampan.
Menurutnya, pembangunan QV-E melibatkan 266,000 jam penyelidikan dan pembangunan sejak Ogos 2023, dengan keseluruhan reka bentuk, kejuruteraan dan hak milik intelektual kekal di bawah Perodua.
Beliau berkata kapasiti pengeluaran semasa di Smart Mobility Plant ialah 500 unit sebulan dan akan ditingkatkan kepada 3,000 unit menjelang suku ketiga 2026 untuk memenuhi permintaan pasaran.
“Setiap ciri QV-E dirangka dengan teliti bagi memastikan aspek fungsi, keselamatan dan keselesaan berada pada tahap optimum. Model ini membuktikan kemampuan rakyat Malaysia menghasilkan EV lengkap dari awal hingga akhir,” katanya.
QV-E dibina menggunakan platform baharu yang dibangunkan bersama syarikat automotif antarabangsa, Magna Steyr.
Berkonsepkan reka bentuk sportback, model itu dipacu motor elektrik 150kW, menghasilkan 201hp dan 285Nm tork, dengan keupayaan memecut 0-100 km/j dalam 7.5 saat.
Ia menggunakan bateri 52.5kWh Lithium Iron Phosphate (LFP) yang menawarkan jarak sehingga 445km mengikut standard NEDC.
Bagi meningkatkan keterjangkauan, Perodua memperkenalkan sistem pajakan bateri ‘Battery as a Service’ (BaaS) pada kadar RM275 sebulan selama sembilan tahun.
Melalui sistem itu, pelanggan membuat satu bayaran bulanan yang merangkumi ansuran kereta serta sewaan bateri, sementara bateri tersebut kekal sebagai milik Perodua dengan jaminan sepanjang hayat.
Dari segi keselamatan, QV-E dilengkapi enam beg udara, ciri Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS), termasuk AEB, ACC dan Lane Keep Assist.
Tambahan baharu ialah Sistem Pengesanan dan Amaran Kanak-kanak (CPD) yang mampu mengesan pergerakan atau tanda vital kanak-kanak yang tertinggal di dalam kenderaan.
Model QV-E ditawarkan dalam dua pilihan warna, Ice Blue dan Caviar Grey yang boleh didapati di cawangan terpilih seluruh negara.
Pelancarannya dijangka menjadi pemangkin penting kepada penggunaan EV secara meluas di Malaysia, khususnya dalam kalangan golongan pertengahan yang memerlukan kenderaan harian yang lebih efisien dan mampu milik.
-NIAGATIMES






















































