EVERFRESH AGRICULTURE PAKAR PERTANIAN DAN PEMASARAN HASIL SEGAR

Everfresh Agriculture (M) Sdn Bhd nama yang diberi sejak penubuhannya pada tahun 2020. Syarikat ini pada asalnya hanya menjual barangan segar seperti sayur-sayuran dan buah-buahan secara kecil-kecilan dalam kuantiti yang kecil dan pasarannya juga tidaklah begitu besar.

Biarpun hanya bermula dengan tiga orang kakitangan, kini Everfresh Agriculture telah menambah sehingga 25 kakitangan yang berdedikasi terdiri dari pelbagai bahagian.

“Barisan Pengarah kami terdiri daripada Puan Kaamini dan Encik Sri Ram diikuti dengan saya, Balamurugan sebagai Pengarah Urusan syarikat.

“Saya dilahirkan dan dibesarkan di Cameron Highland. Sebagai orang penting di syarikat, saya menyelia segala aktiviti syarikat dari segi pembelian, pembungkusan dan juga logistik,” katanya yang mesra disapa sebagai Encik Bala.

Jelas Bala, selain pakar dalam pertanian dan pemasaran hasil segar dalam negara dan juga luar negara, pengalaman lebih 18 tahun yang dimilikinya dalam industri pertanian telah mendorong dirinya untuk membangunkan rangkaian pembelian yang kukuh daripada pasar raya besar, pengedar asing dan juga pembeli asing.

“Everfresh Agriculture telah ditubuhkan untuk menawarkan perkhidmatan yang merangkumi beberapa aspek rantaian bekalan pertanian.

“Perniagaan teras kami ialah pertanian dan memasarkan hasil segar, menyediakan perkhidmatan perundingan, kualiti pembinaan ladang berteknologi, bekalan sistem pertanian berteknologi tinggi dan produk berkaitan,” ujarnya.

Secara keseluruhan, Everfresh telah membungkus dan mengedar lebih daripada 250 jenis hasil segar dari tanah rendah dan tanah tinggi yang dihantar ke pasar raya besar utama, hotel, restoran dan juga kedai runcit di seluruh Lembah Klang.

“Kami memastikan bahawa hasil segar kami yang terdiri daripada sayur-sayuran dan buah-buahan yang telah dipesan oleh pelanggan dibersihkan dengan air yang bersih, ditimbang dengan tepat dan dibungkus mengikut keperluan pembeli.

“Kilang kami beroperasi seluas 10,000 kaki persegi di Puchong. Lori penghantaran kami juga dilengkapi dengan penyejuk beku dan juga kami telah memastikan kualiti, kebersihan dan bekalan sampai tepat pada masanya setiap hari di samping giat melebarkan sayap ke seluruh Malaysia,” katanya.

Bala turut berkongsi betapa banyak kenangan pahit dan manis yang telah ditempuhi oleh Everfresh lebih lebih lagi sewaktu awal awal pembukaan syarikat, seperti harga pasaran hasil segar yang turun naik dan juga kekurangan kakitangan.

“Tetapi dengan kesabaran menangani segala kenangan pahit ini, ia telah membuahkan hasil seperti sekarang. Jika dulu pelanggan kami terdiri dari kedai-kedai runcit, sekarang Everfresh telah melebarkan sayap perniagaannya di kalangan hotel-hotel lima bintang dan juga restoran yang terkenal.

“Berdasarkan pengalaman yang telah dilalui, apa yang telah mengajar Everfresh adalah sentiasa bersedia dalam segala rintangan dan cabaran yang akan datang. Kerana bak kata pepatah ‘genggam bara api, biar sampai jadi arang’ yang membawa maksud jika melalukakan sesuatu yang susah atau sulit, hendaklah bersabar dan tabah hingga mencapai kejayaan. Itulah apa yang telah dipraktikan oleh saya dan barisan Pengarah Everfresh Agriculture,” jelasnya mengakhiri perbualan.

-NIAGATIMES

Bala-Everfresh.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.