EXIM Bank agih buku khas bantu golongan intelek teroka dunia perniagaan

Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat bagi inisiatif pendidikan dengan mengagihkan 200 buah buku edisi khas Pengeksportan dan Perdagangan Antarabangsa kepada kumpulan mahasiswa dan pensyarah di Kolej Universiti First City (FCUC) secara percuma.

Presiden EXIM Bank, Norzilah Mohammed berkata, pihaknya sentiasa menyediakan peruntukan bagi menyokong institusi pendidikan yang mengetegahkan ilmu perniagaan memandangkan ianya adalah sektor strategik yang mampu merancakkan lagi cabang keusahawanan.

“Pihak kami telah mengedarkan lebih 2,000 buah buku edisi khas ini ke beberapa universiti terpilih seperti Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Multimedia, Universiti Asia Pasifik dan Kolej Universiti First City setakat ini. Seterusnya, kami akan ke Universiti Tun Abdul Razak pada bulan depan.

“Pemilihan institusi pendidikan ini adalah berdasarkan liputan meluas yang diberikan mereka berhubung prosedur dan proses eksport tempatan serta perdagangan antarabangsa di mana ia adalah sesuatu yang bagus untuk rujukan kepada mahasiswa yang ingin terlibat dalam perniagaan import-eksport,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Buku Pengeksportan dan Perdagangan Antarabangsa terbitan EXIM Bank yang dikarang oleh AB Teoh tersebut dicetak dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin dengan kandungannya memaparkan pelbagai informasi tentang aktiviti pengeksportan seperti penubuhan dan pengurusan syarikat, pengurusan mata wang, pengurusan risiko dan sebagainya.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.