Exim Bank rai golongan kurang berkemampuan

Lebih 70 orang warga emas termasuk lelaki dan wanita yang tiada waris, orang kurang upaya serta mualaf dari Pusat Jagaan Al-Fikrah Kajang diraikan dalam Program Iftar Tahunan 2019 anjuran Export-Import Bank of Malaysia Bhd. (Exim Bank) yang berlangsung di Kajang, semalam.

Majlis berbuka puasa tersebut yang merupakan kesinambungan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Exim Bank menyaksikan sumbangan sebanyak RM5,000, dua buah mesin pengering pakaian dan barangan keperluan diberikan kepada pengurusan pusat jagaan berkenaan yang disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Feizal Mustapha.

Sementara itu, Pemangku Presiden Exim Bank, Azhar Awang Kechil ketika berucap pada majlis tersebut berkata, pihaknya tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik dan menegaskan hubungan dua hala antara bank dengan masyarakat bukanlah terhad untuk urusan transaksi kewangan sahaja.

“Usaha begini menunjukkan bahawa hubungan antara bank dan komuniti tidak semestinya terbatas hanya kepada program kewangan dan perniagaan semata-mata tetapi boleh meliputi pelbagai aktiviti berbentuk kemasyarakatan,” katanya.

Pada majlis yang sama, kerjasama dengan Star Media Group turut diadakan melalui pengedaran makanan sebanyak 200 pek kepada penduduk berhampiran bagi program kendera saji #KongsiNikmat khusus untuk berbuka puasa.

Program-Iftar-Tahunan-Exim-Bank-2019.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.