Cabaran untuk menakluk dunia perniagaan yang majoritinya didominasi oleh kaum lelaki tidak pernah melunturkan semangat sosok tubuh bernama Intan Ilyani Azali @ Ghazali merealisasikan impiannya. Wanita ini berpegang teguh pada prinsip ketabahan dan kegigihan dalam berdepan setiap onak duri perjalanan bergelar usahawan yang menjadikan dirinya tampil lebih kuat dan berani.
“Saya tidak terlepas dari dibuli. Mentaliti ini masih ada dan akan terus wujud. Jadi, kita harus terus belajar dan menimba ilmu, belajar dari kesilapan serta pengalaman yang lalu dan harus tegas di dalam membuat keputusan. Sebagai seorang Islam, saya percaya niat yang benar dan baik adalah segala-galanya,” ujarnya yang merupakan pengasas kepada jenama Face & Co.
Intan menubuhkan Face & Co pada tahun 2017 di Kuala Lumpur. Jenama produk penjagaan kulit muka yang diusahakannya ini cukup unik kerana bukan sahaja sesuai digunakan oleh wanita malah juga ada keluaran khas untuk lelaki. Dengan berasaskan bahan-bahan botanikal terpilih, Face & Co memfokuskan golongan pertengahan sebagai golongan sasaran dan beroperasi secara dalam talian.
“Setelah hampir tiga tahun, Face & Co kini berjaya mendapat tempat di hati golongan sasaran dan ini memberi kami semangat untuk terus mencipta produk-produk baru dengan kualiti yang dipertingkatkan.
“Semua produk Face & Co menggunakan bahan-bahan setaraf produk antarabangsa tetapi mampu milik, ianya cukup ‘luxury and affordable’.
“Selain memastikan produk kami menggunakan bahan-bahan botanikal yang terpilih dan melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang teliti, Face & Co juga menekankan kepada pelanggan-pelanggan betapa pentingnya penjagaan kulit yang betul bermula dengan mengetahui jenis kulit dan masalah kulit, bahan-bahan yang sesuai untuk setiap jenis kulit dan rutin iaitu langkah-langkah penjagaan kulit yang betul,” katanya.
Untuk memastikan kelangsungan bisnesnya tidak terhenti, Intan giat menyusun langkah supaya terus kekal bertahan lama di dalam industri dan berjaya bukan sahaja di peringkat lokal malahan juga ke taraf global. Baginya, Face & Co seolah-olah cerminan diri dan jiwanya yang perlu tampil lebih berani untuk mara lebih jauh.
“Seawal penubuhan lagi, memang sudah menjadi misi dan visi kami untuk menjadikan Face & Co suatu jenama Malaysia bertaraf antarabangsa. Bukan sahaja dari penjenamaannya tetapi juga melalui proses R&D yang terkini dan mesej penting di sebalik jenama ini sendiri.
“Kami mahu pelanggan kami merasa yakin dengan diri mereka, bermula dengan mempunyai kulit muka yang cantik dan sihat. Biar mereka tahu nilai potensi dan kekuatan diri serta tujuan di dalam hidup mereka masing-masing.
“Dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), kami akan membawa Face & Co dan mesej penting ini ke negara jiran iaitu Indonesia, Singapura dan Brunei. Tidak terkecuali juga ke negara-negara ASEAN yang lain nanti, insya-Allah,” jelasnya.
-NIAGATIMES