Fave, platform pembayaran pintar Asia Tenggara telah melancarkan Hab Teknologi (Tech Hub) di Kuala Lumpur, Malaysia.
Dalam usaha Fave untuk membawakan perubahan dalam landskap teknologi kewangan (fintech), Tech Hub baharu tersebut akan berfungsi sebagai platform untuk mempersiapkan bakat yang terbaik dalam bidang kejuruteraan dan memacu inovasi digital di Asia Tenggara.
Dalam kerjasama dengan rakan latihan iTrain dan universiti, Tech Hub Fave menyasarkan untuk mengambil 100 orang jurutera dalam tahun 2022. Tech Hub akan menyediakan latihan, pensijilan profesional, pementoran dan bimbingan, projek-projek pembangunan produk, serta bengkel dan akhirnya tawaran penempatan di syarikat-syarikat Fave dan Pine Labs kepada pesertanya.
Bermula dengan kumpulan pertama, program ini akan tertumpu kepada siswazah baharu bagi mempersiapkan mereka untuk menyertai industri.
Di samping siswazah baharu dari akademi pengekodan dan universiti, program ini turut menyasarkan individu yang bertukar kerjaya dan belajar sendiri yang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang Kejuruteraan Perisian, yang mempelajarinya menerusi Youtube, Coursera, Udemy, Stack Overflow dan LinkedIn.
Sebagai program yang berulang, Tech Hub akan menjadi langkah permulaan asas dalam komitmen Fave ke arah pengembangan saluran bakat kejuruteraan yang berterusan di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Teknologi bagi Fave, Arzumy MD berkata, adalah sangat penting untuk mengembangkan bakat yang merupakan tunggak kepada ekosistem fintech yang sedang pesat berkembang di rantau ini.
“Kami berasa bangga kerana dapat menjadi peneraju dalam membina saluran bakat yang akan membawa manfaat kepada seluruh ekosistem dan inovasi digital di rantau ini.
“Dengan pelancaran Tech Hub Fave dan pendekatan latihan kami yang versatil, kami yakin akan dapat membentuk pakar generasi baharu untuk merevolusikan landskap fintech di Asia Tenggara.
“Bagi kami, ini adalah langkah permulaan untuk mendorong kejuruteraan produk bertaraf dunia iaitu haluan kerjaya yang pesat berkembang di Malaysia, Asia Tenggara dan dunia,” jelasnya.
-NIAGATIMES