FIM2026 perkukuh rantaian nilai francais, sasar pelaburan RM600 juta

Penganjuran Franchise International Malaysia (FIM) 2026 dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai medan utama pertemuan pemain industri francais, dengan fokus terhadap pembangunan ekosistem yang inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Program anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) itu dijadual berlangsung dari 21 hingga 23 Mei 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sebagai antara pameran francais terbesar di rantau ini, FIM2026 bakal menyediakan lebih 250 lot pameran yang menampilkan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa. Penganjur menyasarkan potensi pelaburan sehingga RM600 juta serta kehadiran melebihi 25,000 pengunjung terdiri daripada penggiat industri, bakal usahawan dan pelabur.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata kementerian komited memperkukuh industri francais melalui pelaksanaan dasar yang komprehensif, kemudahan pembiayaan serta program pembangunan kapasiti secara berterusan.

Beliau berkata usaha tersebut digerakkan menerusi pelaksanaan Dasar Francais Negara 2030 (DFN2030), yang memberi penekanan terhadap pengantarabangsaan jenama tempatan dan menarik lebih banyak penyertaan francais global ke Malaysia.

“Pendekatan ini bukan sahaja memperluas pasaran francais tempatan, malah berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi melalui kesan limpahan kepada sektor berkaitan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Penganjuran FIM turut mendapat pengiktirafan badan francais antarabangsa seperti World Franchise Council (WFC) dan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC), sekali gus memperkukuh reputasi Malaysia sebagai destinasi strategik industri francais global.

Sementara itu, Pengerusi MFA Datuk Dr Radzali Hassan menggalakkan lebih banyak syarikat francais dalam dan luar negara mengambil bahagian pada edisi kali ini bagi memanfaatkan peluang jaringan perniagaan dan pelaburan yang ditawarkan.

Setakat ini, antara penaja yang telah mengesahkan penyertaan ialah Home Maths Therapy, iBooze, Marrybrown, Meiko, Momoyo, Midyson, Kyochon Chicken, The Manhattan Fish Market serta US Pizza.

FIM2026 dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri francais negara, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab francais terkemuka di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

-NIAGATIMES

Rakan-strategik-FIM2026-bergambar-bersama-Timbalan-Menteri-KUSKOP-selepas-sesi-penyerahan-replika-cek-penajaan.jpeg