Firefly mulakan penerbangan jet harian Kuala Lumpur–Krabi

Firefly kini memulakan perkhidmatan penerbangan jet harian dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ke Krabi, Thailand, sekali gus menambah pilihan destinasi percutian kepada rakyat Malaysia serta merancakkan kerancakan sektor pelancongan serantau.

Inisiatif terbaharu oleh anak syarikat Malaysia Aviation Group (MAG) itu dijangka meningkatkan aliran pelancong antara kedua-dua negara selain menyokong perjalanan urusan perniagaan tanpa keperluan transit.

Perkhidmatan pergi dan balik yang beroperasi setiap hari memberi lebih fleksibiliti kepada penumpang dalam merancang percutian singkat mahupun perjalanan jangka panjang.

Firefly turut menawarkan beberapa keistimewaan percuma kepada penumpang termasuk elaun bagasi berdaftar seberat 10 kilogram, snek dalam pesawat serta pilihan menukar jadual penerbangan.

Menurut syarikat itu, sambutan bagi laluan tersebut amat menggalakkan apabila penerbangan sulung FY3610 merekodkan faktor muatan setinggi 96 peratus. Pesawat berlepas pada 11.30 pagi dan tiba di Krabi pada 12 tengah hari waktu tempatan.

Ketua Pegawai Operasi Firefly, Kapten Hamdan Che Ismail, berkata pelancaran laluan berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk memperluas rangkaian antarabangsa dan memperkukuh ketersambungan Asia.

“Ia bukan sahaja meningkatkan hubungan serantau malah menambah baik pengalaman perjalanan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Firefly dan Malaysia Airlines turut memanfaatkan sinergi rangkaian masing-masing bagi membolehkan penumpang antarabangsa membuat sambungan lancar ke Krabi, termasuk penghantaran bagasi terus ke destinasi akhir tanpa perlu daftar masuk semula.

Penumpang sambungan Malaysia Airlines juga menikmati hidangan percuma sebagai sebahagian pakej perjalanan mereka.

Berbeza daripada operasi ‘turboprop’ Firefly di Subang, laluan KLIA–Krabi menggunakan pesawat jet Boeing 737-800 yang menawarkan ruang kabin lebih luas dan selesa.

Penumpang turut berpeluang membuat tempahan awal hidangan panas berinspirasikan cita rasa Asia dan pilihan juadah tempatan bagi mendapatkan penjimatan tambahan.

Gabungan operasi jet dari KLIA serta rangkaian turboprop dari Subang dilihat mengukuhkan aspirasi MAG untuk menyediakan ekosistem perjalanan udara yang menyeluruh dan mudah diakses di rantau ini.

-NIAGATIMES

KREDIT-FOTO-Firefly-Airlines.jpg