Forum antarabangsa Made For The World 2023 lakar kejayaan hebat

Made For The World Forum 2023 anjuran media NiagaTimes mencatatkan sejarah baharu melalui perkongsian perniagaan dan pengalaman melangkah ke pasaran global yang bukan sahaja diketengahkan oleh agensi di bawah kerajaan, malah juga selebriti dan personaliti bisnes ternama tempatan.

Bertemakan ‘SMEs: Invent & Aspire’, forum antarabangsa Made For The World untuk edisi penganjuran tahunan yang keempat kali ini tampil unik melalui tiga sesi persidangan yang berlangsung selama 4 jam padat dengan kisah-kisah kejayaan, panduan dan petua kepada usahawan serta pemain-pemain industri dalam melebarkan sayap ke pentas antarabangsa menerusi 12 ahli panel berpengalaman daripada pelbagai latar belakang.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), telah diwakili Pengarah Seksyen Bantuan Pembangunan dan Seksyen Khidmat Nasihat dan Latihan Pengeksport, Khairul Nizam Moonier selaku teraju utama barisan panel yang banyak memberi galakan dan rujukan tentang bagaimana sesebuah perniagaan boleh mewujudkan rangkaian luar dan berkembang untuk dieksport ke luar negara.

Barisan tokoh selebriti seperti Datuk Aznil Haji Nawawi, Cef Datuk Ismail Ahmad dan Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah turut mencuri tumpuan tetamu menerusi kepakaran di dalam bidang masing-masing iaitu seni, kulinari dan sukan.

Tidak kurang hebatnya juga personaliti dan organisasi yang telah melakar kejayaan perniagaan seperti Fizo Omar, Les’ Copaque Production, UNITAR International Academy, Halal Street UK, Superwoman, Inter Serve, Brain Story dan Usaha Warisan.

Salah seorang audiens yang hadir, Atiqah Anuar ketika ditemui pemberita berkata, persidangan yang diadakan kali ini membuka minda untuknya lebih memahami selok-belok perniagaan dalam meneroka pasaran baharu.

“Pengalaman yang berbeza untuk saya kali ini, berbanding majlis Made For The World edisi tahun-tahun lalu yang juga saya pernah hadir. Tak sangka pula tiga sesi forum dianjurkan berturut-turut. Secara tidak langsung, mesej yang disampaikan jelas dan kini saya lebih tahu hala tuju perniagaan yang sedang saya usahakan. Benarlah peluang untuk eksport produk itu sebenarnya luas,” ujarnya.

Bagi Rizal Mahat, peluang untuk bersemuka dengan barisan panel yang ditampilkan pada majlis ini adalah satu pengalaman yang sangat bernilai.

“Untuk bertemu sendiri, bertentang mata dengan pelbagai individu hebat dalam industri tempatan yang berjaya dan berpengaruh sebegini bukannya mudah. Selalunya saya hanya lihat mereka di televisyen dan ikut di sosial media sahaja. Biasanya kalau ada forum pun setakat dua, tiga orang sahaja yang ditampilkan. Ini 12 panel sekaligus dalam satu majlis. Hebat! Banyak ‘input’ yang saya dapat hari ini secara tak langsung jadi motivasi untuk saya lebih berjaya juga macam mereka. Terima kasih atas peluang ini NiagaTimes,” katanya.

Seorang lagi tetamu, Nadiah Hassan berharap forum yang diadakan tersebut dimanfaatkan oleh rakan-rakan usahawan dan terus diadakan lagi di masa akan datang.

“Program keusahawanan macam ini yang sebetulnya patut dihadiri. Ilmu bisnes dan pengalaman yang dikongsi panel hari ini sangat luar biasa dan tak boleh dapat secara percuma di mana-mana. Tak puas sebenarnya 4 jam sahaja. Harap di masa akan datang, NiagaTimes boleh anjurkan persidangan forum yang lebih lama dan saya cadangkan mungkin boleh selitkan sesi forum ini dalam satu karnival usahawan secara besar-besaran pula,” jelasnya.

Forum Made For The World 2023 telah dihadiri oleh tetamu diraja; Tunku Hajah Mariam Zaharah binti Almarhum Sultan Iskandar (adinda kepada Sultan Johor dan Raja Permaisuri Agong).

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif RHA Media, Dato’ R. Rajendran dan Pengerusi CSR Malaysia, Lee Seng Chee.

Pada majlis yang sama, turut disampaikan ialah Anugerah Made For The World 2023 kepada 30 penerima anugerah yang telah mencatatkan kecemerlangan dalam pelbagai industri.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.